suria

Indonesia Hantar Pulang Pembantu Rumah Bermasalah Dari Amman, Jordan

JAKARTA: Indonesia mulai Sabtu menghantar pulang lebih 30 pembantu rumah negara itu dari Amman, Jordan dalam usaha menangani masalah yang mereka hadapi dengan majikan.

Kedutaan Besar Indonesia di Amman menguruskan penghantaran pulang melalui empat penerbangan iaitu pada Sabtu, Ahad, Isnin dan 13 Mac, Kementerian Luar Negeri Indonesia berkata dalam kenyataan, Sabtu.

Pada masa ini 332 orang pembantu rumah Indonesia di tempatkan di pusat perlindungan Kedutaan Besar Indonesia di Amman.

Kekangan utama yang dihadapi kedutaan besar itu ialah sistem kafalah yang digunakan di Jordan dan di Timur Tengah pada umumnya, di mana pihak imigresen Jordan sebelum memberi permit keluar kepada pembantu rumah terbabit, akan memeriksa dengan majikan mereka dan jika majikan tidak memberi kebenaran kerana sebab-sebab tertentu, mereka akan tertahan di kedutaan besar itu.

"Persoalan yang dihadapi Kedutaan Besar Indonesia di Timur Tengah, pada umumnya ialah banyak majikan menahan pembantu rumah Indonesia dengan alasan kontrak mereka belum tamat atau ada tuduhan pencurian," kata kementerian itu.

Pihak Indonesia berulang kali mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak berkaitan di Jordan untuk mengatasi masalah itu kerana jumlah pembantu rumah yang dimasukkan ke pusat perlindungan Kedutaan Besar Indonesia adalah banyak dan proses penyelesaiannya memakan masa yang lama.

Sepanjang 2011, Kedutaan Besar Indonesia di Amman memberi perlindungan, menghantar pulang dan menyelesaikan 599 kes pembantu rumah Indonesia yang menghadapi pelbagai masalah termasuk tidak dibayar gaji, penyiksaan, gangguan seksual, masa kerja yang melebihi atau kurang dari masa kontrak, tinggal lebih masa kerana permit tinggal tidak diperbaharui majikan dan masalah-masalah kesihatan.

Daripada 332 pembantu rumah yang meminta perlindungan ke kedutaan besar, 200 adalah mereka yang pergi ke negara itu selepas Indonesia melaksanakan moratorium penghantaran pembantu rumah ke Jordan pada 29 Julai, 2010.

"Mereka dikirim oleh agen pekerjaan swasta dan individu yang tidak bertanggung jawab," kata kementerian itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain