suria

Pilihan Raya Presiden Timor Leste: Ramos-Horta Kehilangan Sokongan Parti PM

DILI: Presiden Jose Ramos-Horta menerima tamparan hebat dalam usahanya untuk mempertahankan jawatan apabila parti yang diwakili oleh Perdana Menteri Xanana Gusmao mengisytiharkan sokongan ke atas calon lain.

Parti CNRT yang membantu kemenangan Ramos-Horta pada pilihan raya presiden 2007, telah mengumumkan sokongan mereka kepada bekas pemimpin tertinggi Angkatan Tentera, Major Jeneral Taur Matan Ruak yang merupakan salah seorang calon presiden.

Pilihan raya presiden akan berlangsung pada 17 Mac ini.

Pengumuman untuk menyokong Taur telah dibuat oleh Setiausaha Agung Parti CNRT, Dionisio Babo Soares.

CNRT tidak pula menyatakan mengapakah mereka membuat keputusan untuk tidak menyokong Ramos.

Sejak akhir-akhir ini, Ramos-Horta kerap kali menuduh kerajaan yang dipimpin oleh Gusmao telah bergelumang dengan rasuah, korupsi dan nepotisma.

Bagaimanapun Ramos-Horta telah memuji Major-Jeneral Taur Matan Ruak sebagai seorang perajurit yang setia kepada negara dan juga presiden sepanjang tempoh penggal pemerintahan beliau sebagai presiden.

Ruak telah melepaskan jawatannya sebagai seorang pegawai tentera tahun lalu sebaik sahaja mengumumkan hasrat untuk bertanding dalam pilihan raya presiden.

Seramai 13 orang calon telah pun mendaftar untuk bertanding merebut jawatan presiden.

Sepertimana Ramos-Horta dan juga Gusmao, Ruak adalah seorang pejuang kemerdekaan Timor Leste dari Indonesia.

Artikel Lain