suria

Indonesia Tekankan Pendemokrasian Berterusan

JAKARTA: Indonesia menekankan pada persidangan Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Selasa, bahawa pendemokrasian perlu berjalan secara berterusan.

Menteri Luar Marty Natalegawa ketika membuat penegasan itu berkata perkara itu terutamanya relevan dengan perubahan politik yang sedang berlaku di Timur Tengah dan Afrika Utara.

Beliau merujuk pengalaman Indonesia, di mana demokrasi dan penghormatan terhadap nilai-nilai hak asasi manusia berjaya disuburkan secara berterusan kerana demokrasi berjaya menciptakan suasana kondusif bagi pembangunan nasional.

Walaupun pada awal masa peralihan Indonesia menghadapi berbagai cabaran besar, namun pada akhirnya demokrasi berhasil mencipta kestabilan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, katanya dipetik dalam kenyataan media Kementerian Luar Indonesia, di sini Rabu.

"Perubahan politik yang berlaku di Timur Tengah dan Afrika Utara mengingatkan masyarakat antarabangsa akan beberapa perkara asas: Bahawa kerajaan sesebuah negara harus benar-benar bertanggungjawab kepada rakyatnya,

"Bahawa hak asasi manusia setiap penduduk harus tetap dihormati termasuk di masa krisis politik, dan,

"Bahawa harus tercapai penyelesaian yang menyeluruh melalui proses politik nasional yang inklusif dan kredibel," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain