suria

Hubungan Malaysia-Amerika Diperkukuh - Jamaludin

WASHINGTON: Diberi jolokan "Malaysia's Best Salesman" oleh kumpulan perniagaan terkemuka Washington, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis boleh berbangga dengan perkhidmatannya selama dua tahun di Washington walaupun jadual tugasnya amat padat.

Beliau sentiasa berusaha merapatkan lagi hubungan diplomatik, keselamatan, perdagangan dan pendidikan antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Beliau terpaksa mengseimbangkan jadual tugas diplomatik beliau di Washington dengan tugasnya di tanah air.

Datuk JJ atau lebih mesra dengan panggilan JJ di sini adalah seorang yang amat sibuk, kerana beliau perlu menempuh perjalanan 22 jam untuk pulang ke tanah air untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat, bertemu pengundi di kawasan diwakilinya di Rompin, Pahang, berjumpa dengan perdana menteri dan menteri lain di Kuala Lumpur, dan pulang semula ke Washington untuk bertugas sebagai duta semua aktiviti ini, ada kalanya, berlangsung dalam masa 10 hari sahaja.

"Seolah-olah di mana saja saya menoleh, JJ ada di situ! Saya berada di KL dan beliau ada di sana, dan apabila saya kembali beliau di sini," kata Robert Scher, Timbalan Penolong Setiausaha Pertahanan bagi Selatan dan Asia Tenggara di Pentagon.

Duta JJ bekerjasama dengan Scher dalam membangunkan dialog keselamatan lebih padu antara kedua-dua negara.

Sepanjang bertugas di Washington, JJ sering mengunjungi White House, Jabatan Negara dan Kongres dalam misinya untuk mempromosikan Malaysia kepada pegawai-pegawai tinggi, yang sentiasa sibuk dengan urusan menyelesaikan isu di Timur Tengah, Korea Utara dan Eropah.

Pendek kata, Duta JJ berjaya menarik perhatian kepada Malaysia disebalik hakikat kebanyakan pembuat dasar dan ahli perniagaan memberi perhatian ke Timur - khususnya China.

Beliau turut memujuk barisan menteri Malaysia yang memegang portfolio perdagangan antarabangsa dan industri, pelajaran, kewangan, pertahanan dan menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk datang dan berjumpa rakan sejawatan mereka di Washington bagi mengadakan dialog dan membincangkan peluang-peluang kerjasama.

Begitu juga dengan Setiausaha Negara AS Hillary Clinton, bekas Setiausaha Pertahanan Robert Gates dan ramai pegawai kanan lain yang turut berkunjung ke Kuala Lumpur menjadikan hubungan diplomasi bagi tempoh dua tahun berkenaan sentiasa sibuk.

Hubungan itu telah melakar sejarah tersendiri dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara, termasuk Malaysia menghantar anggota tentera bukan penempur ke Afghanistan untuk menyokong usaha antarabangsa dan memperkukuhkan regim pengawalan senjata nuklear menerusi Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA).

Malah Penolong Setiausaha Negara Kurt Campbell turut mengiktiraf Malaysia sebagai negara di Asia yang hubungannya dengan AS mencatat peningkatan paling ketara pada 2010.

Dua pertemuan rasmi antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Barack Obama menjadi perintis kepada peningkatan hubungan antara kedua-dua negara. Perbincangan rasmi itu ialah pada Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear 2010 di Washington, D.C. dan pada Sidang Kemuncak Asean di Bali November lepas.

Kedua-dua pemimpin membincangkan isu-isu kepentingan bersama kedua-dua negara. JJ sendiri amat bangga kerana perbincangan terus terang antara kedua-dua pemimpin telah membawa kepada pembangunan program sukarelawan yang diilhamkan oleh Peace Corps.

Program baru itu memberi peluang kepada ribuan pelajar Amerika untuk tinggal dan mengajar bahasa Inggeris di Malaysia. Pada majlis perpisahan untuk JJ, Penolong Perwakilan Perdagangan AS (USTR) bagi Asia Tenggara dan Pasifik, Barbara Weisel, memuji JJ bagi kepimpinan berwawasan beliau dalam rundingan Perkongsian Trans-Pasific (TPP).

TPP ialah inisiatif perdagangan antarabangsa utama yang meliputi 40 peratus aliran perdagangan global dan dijangka meningkatkan perdagangan AS-Asia Pasifik di masa depan.

Rakyat Malaysia di AS ada kalanya kecewa dengan kekerapan JJ pulang ke tanah air sehingga beliau terlepas peluang untuk menghadiri majlis di kedutaan.

Bagaimanapun, JJ sentiasa cuba memberi kejutan kepada tetamu pada majlis sambutan Aidilfitri di kedutaan dengan segak berpakaian "Baju Melayu" dan memberi "duit raya" kepada kanak-kanak.

Sementara itu, isteri duta itu, Datin Seri Dr Kalsom Ismail, turut memainkan peranan penting dalam tempoh dua tahun di Washington. Beliau terbabit dalam beberapa aktiviti diplomatik dan amal.

Misalnya, beliau aktif dengan Persatuan Wanita Asean, dianggotai isteri-isteri duta yang mewakili rantau Asean.

Dr Kalsom juga menganjurkan kerja amal untuk membantu kanak-kanak kurang kemampuan di kawasan Washington. Beliau juga mendorong anggota Perwakilan, persatuan wanita Malaysia di Washington, menghidangkan sup di "Martha's Table," tempat memasak sup untuk golongan gelandangan semasa lawatan mereka ke bandar raya ini baru-baru ini.

Selain itu, kumpulan itu turut bekerjasama dengan beberapa sekolah untuk membantu kanak-kanak kelainan upaya.

"Ini merupakan idea baik yang akan saya bawa kemabli ke tanah air dan perkenalkan di Malaysia," kata Dr Kalsom pada jamuan teh untuk kalangan wanita berpengaruh di Washington di kedutaan itu sempena sambutan Tahun Baru.

Pelantikan JJ sebagai duta khas Malaysia ke AS dengan taraf menteri Kabinet bermakna pasangan itu akan terus komited untuk memacu hubungan diplomatik antara AS dan Malaysia dalam hala tuju positif. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain