suria

Dua Dekri Kerajaan Thai Diberi Lampu Hijau

BANGKOK: Kerajaan Thai melepasi rintangan undang-undang dalam usahanya mengelak berulangnya banjir besar seperti tahun lepas yang mengakibatkan kerugian dianggarkan 1.4 trilion Baht (kira-kira RM140 bilion).

Mahkamah Perlembagaan telah mengisytiharkan bahawa dua dekri eksekutif termasuk yang memberi kuasa kerajaan meminjam 350 bilion Baht (kira-kira RM35 bilion) bagi membiayai projek pengurusan air dan kerja pemulihan banjir, didapati tidak melanggar perlembagaan.

Panel sembilan orang hakim hari ini sebulat suara bersetuju bahawa dekri eksekutif bagi membiayai projek pengurusan air mencegah berulangnya banjir dahsyat tahun lepas, sebagai perkara mustahak dan mengikut perlembagaan.

Anggota Parlimen dan senator di pihak pembangkang mengemukakan petisyen ke mahkamah untuk memutuskan sama ada kedua-dua dekri yang dikeluarkan kerajaan itu melanggar perlembagaan.

Satu lagi dekri itu bertujuan membenarkan Kementerian Kewangan memindahkan tanggungjawab membuat pembayaran balik tanggungan pinjaman 1.14 trilion Baht (kira-kira RM114 bilion) akibat krisis kewangan 1997, kepada Tabung Pembangunan Instutusi Kewangan. Para hakim mengundi 7-2 bagi dekri kedua semasa membuat perisytiharan bahawa ia adalah mengikut perlembagaan. Hakim-hakim tersebut berkata kedua-dua dekri adalah perkara mustahak berikutan masalah banjir dan untuk mencegah berulangnya kejadian seumpama itu serta bagi meningkatkan keyakinan di kalangan pelabur terhadap kemampuan negara mengatasi masalah.

Perlembagaan memperuntukkan bahawa dekri eksekutif boleh dikeluarkan hanya untuk perkara mustahak.

Pihak pembangkang mencabar kerajaan supaya meletakkan jawatan dengan memikul tanggungjawab sekiranya mahkamah hari ini mengambil keputusan tidak memihak kepada kerajaan.

Pelan sokongan kerajaan jika ia gagal dalam pertikaian undang-undang hari ini ialah untuk mengemukakan semula kedua-dua dekri itu sebagai rang undang-undang dan proses ini mungkin memakan masa sehingga tiga bulan sebelum ia diluluskan oleh Parlimen. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain