suria

Toyota Akan Teruskan Pengeluaran Di Australia Menjangkaui 2016

MELBOURNE: Toyota berjanji akan terus mengeluarkan kereta di Australia menjangkaui 2016, selepas Holden pada minggu ini tidak dapat memberi jaminan akan meneruskan jenama Commodore selepas tempoh enam tahun.

Pengarah jualan dan pemasaran Toyota Matthew Callachor memberitahu News Limited syarikat itu melancarkan versi baharu kereta bersaiz sederhana dikeluarkan di negara ini, iaitu Camry dan Camry Hybrid, dan kereta saiz besar Aurion.

"Ia secara umumnya tidak diketahui bahawa Toyota Australia memperoleh pelaburannya bagi model baharu Camry, Aurion dan Camry Hybrid tanpa pelaburan bersama kerajaan," katanya.

Toyota dilaporkan akan membiayai sendiri sebahagian besar kilang enjin baharu berharga A$300 juta di Altona, dengan sokongan kewangan daripada kerajaan persekutuan dan Victoria.

"Perancangan bagi kereta generasi seterusnya sedang dibuat dan, oleh kerana ia normal bagi mana-mana sekutu Toyota, kami akan membangunkan kes bagi menjamin model seterusnya," kata Callachor.

Syarikat induk Holden, General Motors memberitahu The Australian Financial Review model Commodore akan digantikan oleh kereta "global" lebih kecil dalam tempoh lima hingga enam tahun lagi. - BERNAMA

Artikel Lain