suria

Krisis Zon Euro: Menteri Singapura Saran G-20 Jalin Kerjasama Dengan IMF

SINGAPURA: Kumpulan 20 (G-20) perlu bekerjasama dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk mewujudkan halangan efektif bagi menangani krisis zon euro yang berterusan, kata Menteri Luar dan Menteri Undang-Undang Singapura, K. Shanmugam.

Dalam satu kenyataan Selasa, Kementerian Luar berkata Shanmugam berkata G-20 juga harus membantu negara-negara dalam pembangunan bandar mampan dalam menangani isu-isu seperti kecekapan tenaga, pengurusan sisa dan perubahan iklim dengan lebih berkesan.

"Bagi meningkatkan keberkesanannya, G-20 perlu melibatkan bukan anggota G-20 dengan kepakaran untuk menangani isu-isu global utama dan mengukuhkan penglibatan G-20 dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya pada Mesyuarat Tidak Formal Menteri-menteri Luar G-20 di Los Cabos, Mexico yang berlangsung dari 19-20 Feb, 2012.

Mesyuarat itu membincangkan peranan G-20 dalam tadbir urus global, bagaimana untuk menjadikan sistem pelbagai hala yang lebih berkesan, dan cara untuk membina kefahaman yang sama mengenai pertumbuhan mesra alam, pembangunan lestari, perubahan iklim dan jaminan makanan. - BERNAMA

Artikel Lain