suria

Kevin Rudd: Daripada PM Kepada Menlu & Kini Tiada Apa

SYDNEY: Untuk sekian lamanya, tidak ada ahli politik di Australia yang membuat begitu banyak tajuk berita melainkan Kevin Rudd.

Daripada menjadi perdana menteri yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin dengan lancar, beliau kemudiannya disingkirkan sebagai ketua Parti Buruh yang menyaksikannya kehilangan jawatan tersebut pada tahun 2010.

Tiga bulan kemudian selepas perdana menteri baru Julia Gillard mengadakan pilihan raya untuk memperolehi mandat baru, Rudd dibawa masuk ke dalam kabinet sebagai menteri luar.

Beliau menerima pelawaan itu walaupun berasa pahit dengan cara Gillard menggulingkannya dari kuasa.

Segala-galanya demi kelangsungan Parti Buruh kerana kerajaan yang baru dibentuk adalah kerajaan yang lemah. Namun kembalinya Rudd ke dalam kabinet hanya menimbulkan satu masalah lain pula iaitu beliau sentiasa dilihat cuba merampas kembali jawatan pm daripada Gillard.

Spekulasi mengenai perkara ini berpanjangan sehinggalah tiba ke kemuncaknya minggu lalu apabila Gillard mengeluarkan arahan tidak membenarkan mana-mana menteri kabinetnya bercakap dengan pengarang kanan media massa untuk mengelakkan timbulnya spekulasi mengenai 'rampasan kuasa' di kalangan kepimpinan Parti Buruh.

Dan pada Rabu (22 Feb), di Washington DC, ibu negara Amerika, Rudd yang sedang dalam tugas rasminya sebagai menteri luar telah memanggil satu sidang akhbar khas untuk mengumumkan peletakkan jawatannya.

"Satu kenyataan yang mudah dan jelas ialah, mana mungkin saya meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagai menteri luar jika saya tidak memperolehi kepercayaan dan sokongan perdana menteri," katanya sambil menambah;

"Oleh yang demikian, saya percaya, satu-satunya jalan paling terhormat yang boleh saya lakukan ialah untuk meletakkan jawatan."

Keputusannya itu dengan segera mendapat restu daripada anak perempuan dan isterinya.

Rudd, yang berjaya menjalani pembedahan jantung Ogos tahun lalu akan kembali ke Australia hujung minggu ini dan membuat pengumuman mengenai langkah politiknya yang seterusnya sebelum parlimen bersidang Isnin depan.

Rudd, 54, mengambil alih jawatan pemimpin Parti Buruh sejurus sebelum pilihan raya umum 2007 dan selepas menumpaskan Parti Konservatif pimpinan bekas perdana menteri, John Howard beliau telah menjadi perdana menteri Australia.

Kepimpinannya telah memperlihatkan hubungan yang semakin akrab dengan Asia apatah lagi kebolehannya bertutur dalam Mandarin telah menjadi satu aset kepada Australia.

Beliau juga telah memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat Asli Australia yang telah hidup menderita dengan ketibaan kaum kulit putih.

Bagaimanapun populari Rudd menjunam menjelang tahun 2010 dan peluang ini diambil oleh Gillard untuk merampas kuasa dari dalam dan ini memaksa beliau melepaskan jawatan sebagai perdana menteri dan pemimpin Parti Buruh.

LATARBELAKANG

Rudd menjalani kehidupan remaja yang susah dan mencabar sejak kematian bapanya dalam satu kemalangan jalan raya ketika dia berusia 11 tahun.

Mereka telah dihalau keluar dari ladang mereka di Queensland.

Menurut Rudd insiden itu telah banyak mempengaruhi kehidupannya selepas itu dan mendorongnya untuk mencari keadilan untuk rakyat yang terpinggir dan ditindas serta tentang keadilan sosial.

Selepas dua kali mencuba barulah akhirnya Rudd berjaya terpilih sebagai anggota parlimen pada tahun 1998.

Tetapi sebelum berkhidmat sebagai ahli parlimen persekutuan, Rudd telah pun mencipta kerjayanya sebagai seorang pentadbir awam di peringkat negeri iaitu dalam kerajaan negeri Queensland yang diperintah oleh Parti Buruh.

Selepas itu beliau menyertai perkhidmatan diplomatik dan berkhidmat sebagai diplomat di Stockholm dan Beijing.

Isterinya Therese pula adalah seorang usahawan wanita berstatus jutawan jauh sebelum beliau menjadi perdana menteri lagi. Mereka dianugerahkan tiga cahaya mata.

Pada pilihan raya November 2007, Rudd bersama-sama Gillard berjaya membentuk kerajaan Buruh yang pertama dalam tempoh 12 tahun.

Kini seluruh Australia akan tertumpu kepada langkah Rudd yang seterusnya iaitu apakah beliau akan bersara dari politik atau secara rasminya mengumumkan 'peperangan' dengan Gillard.

Artikel Lain