suria

Indonesia Kembalikan Ikan Import Dari Pakistan dan Malaysia

JAKARTA: Indonesia mengembalikan ikan yang diimport dari Pakistan dan Melaysia menerusi Pelabuhan Belawan di Medan, Sumatera Utara, selepas mendapati ikan terbabit mengandungi formalin.

Ketua Pengarah Pengawasan Sumber Daya Kelautan dan Perikanan, Syahrin Abdurrahman berkata Stesen Kuarantin Ikan, Pengendalian Mutu dan Keselamatan Hasil Perikanan Kelas 1 Medan II mendapati ikan itu mengandungi formalin pada kadar antara 0.25 hingga 0.4 mg dan 0.25-0.8 mg sekilogram.

Proses pengeksportan kembali semua ikan itu akan dikawal ketat dan sebuah kapal pengawas perikanan akan mengiringi kapal pengeksportan kembali itu sampai ke kawasan sempadan perairan negara jiran, katanya di sini.

"Sesuai amanat undang-undang perikanan, kami harus memastikan tertib pelaksanaan undang-undang. Kerana itu, ikan yang jelas mengandungi formalin sehingga dilarang diedarkan di Indonesia, terus kami kawal dari proses pemuatan di pelabuhan, di dalam perjalanan sehingga benar-benar keluar dari wilayah Indonesia.

"Jangan sampai ada penyalahgunaan lagi di tengah jalan," katanya seperti yang disiarkan pada laman web Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia pada Selasa.

Syahrin Abdurrahman bagaimanapun tidak menyebut jenis ikan serta jumlah yang terlibat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain