suria

Penerbangan Tambang Murah Air Australia Lingkup

SYDNEY: Penerbangan tambang murah Air Australia pada Jumaat terpaksa menamatkan penerbangan buat sementara waktu selepas kehabisan dana untuk meneruskan operasi.

Keputusan itu telah menyebabkan beribu penumpang terkandas sama ada untuk penerbangan domestik mahupun antarabangsa.

Antara penerbangan yang terjejas ialah laluan ke Honolulu, Bali dan Pulau Phuket di Thailand.

Berita buruk ini muncul selepas sebuah lagi penerbangan milik Australia, Qantas mengumumkan bahawa mereka akan memotong sehingga 500 pekerjaan, memotong kos operasi dan menutup dua laluan antarabangsa selepas keuntungan bersih jatuh sehingga 83 peratus untuk enam bulan terakhir tahun lalu.

Dalam kes Air Australia, yang berpusat di Brisbane, 300 staf telah pun menerima surat pemberhentian dan kini telah melantik KordaMentha sebagai pengurus pentadbir sementara Air Australia.

"Untuk jangka masa ini, semua penerbangan telah dihentikan. Adalah dimaklumkan syarikat tidak memiliki dana yang mencukupi untuk mengurus operasi harian," demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KordaMentha.

"For clarity, it also appears highly unlikely there will be any flights in the short to medium term."

Air Australia menawarkan penerbangan ke Bali, Phuket dan Hawaii manakala untuk penerbangan domestik menawarkan destinasi seperti Brisbane, Melbourne, Perth, Derby dan Port Hedland di Australia Barat.

Pengurus KordaMentha, Mark Korda berkata, buat masa ini terdapat lebih 4,000 penumpang dengan tiket pulang Air Australia yang sedang berada di luar negara.

Beliau memberitahu ABC Radio, syarikat penerbangan itu gagal untuk membeli bahan api di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket pada malam Khamis menyebabkan perkhidmatannya terkandas.

"Pembekal bahan api Air Australia di Phuket enggan melanjutkan lagi kredit kepada syarikat dan pihak lembaga tidak mempunyai pilihan melainkan meletakkan syarikat di bawah pentadbiran," ujar Mark Korda lagi.

Air Australia sebelum ini dikenali dengan nama Strategic Airlines tetapi telah dilancar semula pada November tahun lalu.

Ia memiliki lima buah pesawat Airbus A330-200 dan A320-200.

Kini para penumpang yang terkandas di luar negara masih terpinga-pinga apa yang perlu mereka lakukan seterusnya.

"Tidak ada siapa pun yang mewakili Air Australia di lapangan terbanga," demikian kata Wesa Chau, yang masih terkandas di Pulau Phuket tanpa sebarang penerbangan keluar.

Korda berkata, tanggungjawab utamanya kini ialah untuk mencari pelabur baru.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Qantas, Alan Joyce dalam reaksi segeranya berkata, mereka akan lakukan apa yang terdaya untuk membantu membawa pulang penumpang yang terkandas di luar negara dengan segera.

Jetstar, Virgin Australia dan Hawaiian Airlines turut memberi perakuan yang sama untuk membantu para penumpang Air Australia yang kini terkandas di luar negara.

Dalam pada itu Perdana Menteri, Julia Gillard meminta pihak pentadbir sementara supaya memberi keutamaan kepada para penumpang yang terkandas di luar negara terlebih dahulu.

Artikel Berikut

Artikel Lain