suria

Syarikat Penerbangan Indonesia Berbelanja Besar Di Pertunjukkan Udara Singapura

SINGAPURA: Usahawan dan ahli perniagaan Indonesia mendominasi perbelanjaan pada Pertunjukkan Udara Singapura yang sedang berlangsung di sini.

Kumpulan kelas pertengahan yang semakin membesar, pertumbuhan ekonomi yang kukuh, kestabilan politik dan keperluan untuk menghubungkan antara pulau telah melonjakkan industri penerbangan Indonesia dengan membuat pelaburan yang besar.

Syarikat penerbangan tambang murah Indonesia, Lion Air misalnya pada Selasa telah menandatangani perjanjian pembelian dengan Boeing sebanyak AS$22.4 bilion untuk memperolehi 230 buah pesawat.

Lion Air telah menempah 201 buah Boeing 737 MAX dan 29 737-900ERs - yang merupakan pesawat generasi akan datang.

Ini termasuklah persetujuan untuk menambah sebanyak 150 buah pesawat lagi untuk kegunaan domestik dan serantau.

Naib Presiden Boeing Untuk Asia Pasifik dan India, Dinesh Keskar, berkata, perjanjian dengan Lion Air itu adalah yang terbesar dalam sejarah industri penerbangan untuk kategori pesawat jarak sederhana.

Dua hari selepas memeterai perjanjian dengan Boeing, Lion Air turut menandatangani perjanjian untuk membeli sebanyak 27 buah pesawat kecil daripada ATR iaitu sebuah syarikat pembuat pesawat dari Eropah.

Pesawat baru ATR 72-600 berkuasa turboprop itu, bernilai AS$610 juta, akan diintegrasikan di dalam unit Lion Air iaitu Wings Air dengan penghantaran penuh sehingga 2015.

Dengan jumlah penduduk seramai 240 juta orang, Indonesia adalah negara keempat paling padat dalam dunia dan negara yang paling banyak pulau - lebih 17,000 buah yang bertebaran melangkaui 33 wilayah dengan tiga zon waktu yang berbeza.

Ekonomi Indonesia tumbuh pada kadar 6.5 peratus tahun lalu iaitu yang paling pantas dalam tempoh 15 tahun dengan anggaran pertumbuhan antara 6.3 hingga 6.7 peratus tahun ini.

Pelabur luar telah melabur sejumlah AS$20 bilion pada 2011, iaitu pertambahan dari $17 bilion pada tahun sebelumnya.

Penganalisis industri penerbangan, Shukor Yusof dari agensi Standard & Poor's Equity Research berkata, Indonesia sendiri mampu menampung keperluan pasaran Asia Tenggara kerana kumpulan kelas pertengahannya semakin membesar, jumlah penduduknya juga semakin bertambah dan lanskap politiknya kini juga semakin stabil dan membantu pertumbuhan ekonomi.

Jadi katanya adalah tidak menghairankan sekiranya negara itu sedang membentuk satu kuasa pasaran yang besar yang akhirnya membuka pintu kepada lebih ramai orang untuk menikmati penerbangan.

"Secara geografinya, Indonesia adalah sempurna untuk industri penerbangan," ujarnya lagi.

Antara wilayah yang berpotensi untuk mengembangkan industri penerbangannya ialah Makassar, Sulawesi dan Manado - kesemuanya menawarkan pakej pelancongan yang menarik dan sempurna.

Kata Syukor, sebaik sahaja orang mempunyai kemampuan untuk terbang, industri ini akan melambung dan berkembang.

"Pasaran di negara ini cukup besar sehinggakan masih wujud ruang untuk peneraju baru mengambil bahagian walaupun sudah wujud pemain yang sudah kukuh," katanya.

Sementara itu, syarikat penerbangan rasmi Indonesia - Garuda - turut tidak ketinggalan menandatangani perjanjian untuk menempah enam pesawat Bombardier CRJ1000 dengan opsyen untuk menambah 18 tempahan lagi.

Keenam-enam tempahan itu dianggarkan bernilai AS$297 juta, kata Bombardier yang berpusat di Kanada.

Dan sekiranya Garuda memutuskan untuk mengesahkan 18 tempahan opsyen tadi, maka jumlah keseluruhan tempahan akan mencecah AS$1.32 bilion.

Malah Angkatan Bersenjata Republik Indonesia juga tidak ketinggalan untuk berbelanja besar.

Mereka telah menempah, sembilan pesawat pengangkut tentera Airbus C-295 pada harga AS$325 juta.

Artikel Berikut

Artikel Lain