suria

Suspek Kes Bom Tidak Termasuk Dalam Agenda Perbincangan Yingluck- Najib

BANGKOK: Penahanan suspek warga Iran di Malaysia yang dikaitkan dengan tiga letupan bom di bandar raya ini pada Selasa, tidak termasuk dalam agenda perbincangan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra yang akan melakukan lawatan rasmi ke Malaysia pada Isnin ini.

Pemangku jurucakap kerajaan Thailand Thitima Chaisaeng berkata perkara itu tidak termasuk dalam agenda perbincangan Yingluck dengan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

"Perdana Menteri Yingluck akan menyerahkan kepada pihak berkuasa keselamatan untuk mengendalikan kes itu. "Bagaimanapun, Perdana Menteri (Yingluck) telah menyediakan maklumat, jika pegawai Malaysia bertanya beliau berhubung perkara itu pada mesyuarat delegasi membabitkan kedua-dua negara," katanya kepada pemberita di sini.

Bangkok memohon mendapatkan ekstradisi rakyat Iran berusia 31 tahun yang ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang pada Rabu, ketika hendak berlepas ke Tehran, selepas tiba dengan penerbangan dari Bangkok malam sebelumnya. Tiga letupan bom menggegarkan Bangkok pada Selasa, termasuk satu kejadian di mana seorang lelaki rakyat Iran hilang kedua-dua belah kakinya apabila sebutir bom yang dilontarkannya ke arah kereta peronda polis, melantun semula dan mengenainya di Jalan Sukhumvit 71 di sini.

Letupan bom pertama berlaku di rumah yang disewa suspek berhampiran Jalan Sukhumvit 71 manakala kejadian kedua, suspek melempar sebutir bom ke arah sebuah teksi berhampiran jalan itu apabila teksi itu enggan mengambilnya dan dia kemudian melempar bom ketiga apabila kereta peronda polis menghalangnya di jalan itu.

Sehingga kini, polis Thailand telah menahan dua suspek rakyat Iran, termasuk suspek yang cedera yang kini sedang dirawat di hospital di sini.

Seorang wanita rakyat Iran, dipercayai rakan subahat mereka, dilaporkan telah meninggalkan negara itu awal bulan ini. Keempat-empat suspek menghuni rumah sewa yang sama berdekatan Jalan Sukhumvit 71 yang rosak sebahagiannya akibat letupan bom pertama. Polis Malaysia berkata suspek ditahan mengikut Akta Imigresen dan dia masih ditahan untuk siasatan lanjut berhubung kegiatan keganasan berkaitan kejadian pengeboman di Thailand.

Thitima berkata Yingluck, antara lain, akan membincangkan isu sempadan, masalah pengedaran dadah, industri makanan halal, perdagangan antara kedua-dua negara, selain situasi pekerja Thailand di Malaysia.

Yingluck, yang mengambil alih kepimpinan negara pada Ogos tahun lepas, adalah wanita Thailand pertama dilantik sebagai Perdana Menteri.

Beliau dijadual melawat Malaysia pada 10 Oktober 2011, tetapi ia ditangguhkan berikutan banjir besar di Thailand. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain