suria

Shah Rukh Khan Hangatkan Suasana Berlin

BERLIN: Tirai bagi acara glamor 10 hari di Berlin dibuka bersama kehadiran bintang-bintang filem antarabangsa dan penggiat dunia perfileman di ibu negara Jerman ini.

Suasana bandaraya ini bertukar bagaikan ekspo selebriti dengan wajah-wajah mereka sebelum ini hanya dilihat oleh penduduk Jerman pada layar skrin sahaja.

Antara personaliti yang tiba di sini ialah bintang Bollywood, Shah Rukh Khan (SRK) yang turut serta dalam majlis anugerah filem tahunan Berlinale, yang bermula pada Sabtu.

Bagaimanapun, SRK, rujukan mesra oleh media bagi bintang Bollywood ini, juga bertandang ke sini bagi tayangan perdana filem aksi terbaru beliau 'Don-2' yang penggambarannya turut dilakukan di Berlin.

Bollywood sebelum ini tidak meminati penggambaran di Jerman, memandangkan diaspora India dan Asia di negara itu mengeluh kerana Jerman tidak begitu mesra dengan orang luar.

Bollywood banyak menyaksikan penggambaran filem-filem di Switzerland, Perancis, Mauritius, Afrika Selatan, Singapura, Thailand dan Malaysia.

Sebenarnya, siri pertama Don yang juga dibintangi oleh SRK menyaksikan penggambaran di Malaysia dan muncul sebagai filem 'box office'.

KETUA MAFIA YANG MENGGAMIT

Dalam Don-2, SRK memainkan watak ketua kumpulan mafia India yang mempunyai rangkaian hingga di German, yang membawa kepada penggambaran di Berlin.

Bagaimanapun, kehadiran beliau di Berlinale menghangatkan keadaan dengan para peminat terutama wanita muda bagaikan menggila dan menjerit seronok selepas menatap wajah pelakon terkenal itu.

Kehadiran SRK di Berlin juga menunjukkan kepada perancang pelancongan di bandaraya ini akan impak publisiti jika bintang Hollywood Tom Cruise memilih Berlin untuk penggambaran Mission Impossible-3.

Tetapi Cruise memutuskan untuk membawa pasukan penggambarannya ke Rome melihatkan kurangnya kemesraan di Berlin.

"Adalah di luar dugaan yang Shah Rukh Khan memutuskan untuk menjalani penggambaran di Berlin. Tahniah harus diberikan kepada Berlin yang kini berusaha memikat pelawat dari India yang lazimnya lebih suka ke Switzerland, UK, Perancis dan Amerika Syarikat.

"Diharapkan filem Khan akan dapat menggamit pelancong mewah dari India," kata Guido Haupt yang bertugas dengan sebuah syarikat pelancongan German kepada Bernama.

BOLLYWOOD TERIMA PENGIKTIRAFAN JERMAN

Don-2 lakonan SRK menyaksikan tayangan perdana gilang-gemilang di Berlinale pada sebelah malam hari yang sama.

Sehingga sedekad yang lepas Bollywood tidak begitu dikenali di Jerman.

Filem-filem dari India lazimnya ditonton oleh diaspora India, selain warga Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Arab dan negara Asia lain dengan sekali-sekala warga kulit putih turut menyaksikannya, kemungkinan dipujuk oleh rakan mereka untuk turut serta.

Bagaimanapun, dengan kemaraan globalisasi dan kehebatan India yang diakui dalam bidang sains dan teknologi, pandangan Jerman terhadap India telah berubah secara radikal.

Daripada imej negara Taj Mahal, harimau dan pengemis, India kini adalah rakan disegani dalam perniagaan, teknologi dan seni.

Don-2 merakamkan pemandangan di Berlin dalam cara yang menarik.

Satu daripada adegan menarik dalam filem ini berlatarkan Alexanderplatz di mana watak yang dimainkan oleh SRK melompat daripada bumbung Park Inn Hotel ke jalan raya di bawah.

Ketibaan SRK, yang ditunggu-tunggukan oleh orang ramai, terutama oleh gadis-gadis remaja, di venue Friedrichstadtpalast menghangatkan keadaan.

"Wir lieben Dich, Shah Rukh!" ("We love you, Shah Rukh") teriak seorang gadis Jerman berambut perang.

Shamsi Ali, seorang warga Malaysia dari Johor, berkata beliau gembira kerana dapat menatap wajah Shah Rukh Khan dari dekat.

"Saya singgah di sini untuk lawatan singkat menguruskan perniagaan sebelum ke London dan saya gembira kerana dapat melihat beliau dari dekat. Sebelum ini saya hanya melihatnya dalam filem-filem," katanya kepada Bernama.

Gandingan SRK dalam filem berkenaan, Priyanka Chopra, juga berada di Berlin.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain