suria

Bom Melantun, Rakyat Iran Hilang Kaki Letupan Di Bangkok

BANGKOK: Tiga letupan bom menggegarkan Bangkok pada Selasa termasuk yang menyebabkan seorang lelaki rakyat Iran hilang kedua-dua belah apabila sebutir bom yang dilemparnya ke arah kereta peronda polis melantun semula dan mengenainya di Jalan Sukhumvit 71, di sini.

Pemangku jurucakap kerajaan Thitima Chaisaeng berkata kerajaan telah melakukan pemeriksaan terhadap latar belakang lelaki terbabit serta dua lagi rakyat Iran yang merupakan rakan serumahnya, sama ada mereka mempunyi hubungan dengan mana-mana kumpulan pengganas.

Timbalan Ketua Polis Negara Pol Gen Pansiri Praphawat berkata selain lelaki terbabit, empat rakyat tempatan turut cedera dalam kejadian letupan itu.

Beliau berkata bom pertama meletup di sebuah rumah yang disewa oleh rakyat Iran di Lorong Preedeepanomyong 31, off Jalan Sukhumvit 71 pada pukul 2 petang. Tiada yang cedera kerana dua teman serumah pengebom terbabit tiada di rumah.

Polis menemui beberapa bom buatan sendiri di dalam rumah berkenaan, katanya.

Pansiri berkata selepas letupan itu, lelaki Iran terbabit menahan sebuah teksi di tepi jalan di lorong itu, tetapi dia melemparkan sebiji bom ke arah teksi berkenaan apabila pemandu teksi enggan berhenti setelah diberi amaran oleh orang awam bahawa lelaki terbabit membawa bom.

Empat rakyat tempatan yang cedera kini dirawat di Hospital Kluay Namthai, di sini.

Pengarah hospital itu Suwinai Busarakawong berkata mereka ialah pemandu teksi Kanchai Boonsoongnern; penunggang teksi motosikal Abhichat Kamlue, 30; Suthatip Sattadamrong, 62; dan Kangwarn Horprasartthong, 80.

Suwinai berkata Abhichat dan Kangwarn mengalami cedera parah manakala dua yang lain cedera ringan.

"Lelaki yang hilang kedua-dua kaki itu telah dipindahkan ke Hospital Chulalongkorn, di sini," katanya.

Timbalan Ketua Polis Negara itu berkata kereta peronda polis berjaya memintas pengebom itu di hadapan sebuah sekolah di Jalan Sukhumvit 71 dan lelaki terbabit membaling bom ketiga ke arah kereta peronda tetapi bom berkenaan melantun semula ke arahnya dan meletup.

Pada masa ini tidak dapat dipastikan sama ada kejadian letupan itu mempunyai kaitan dengan mana-mana amaran keganasan di ibu negara ini yang dikeluarkan oleh beberapa negara bulan lepas.

Pada 13 Januari, Kedutaan Amerika Syarikat di sini mengeluarkan amaran bahawa pengganas asing mungkin akan melakukan serangan terhadap kawasan pelancongan di ibu negara ini dalam masa terdekat.

Suspek pengganas, seorang rakyat Lubnan berusia 48 tahun, ditahan di bandar ini pada 12 Jan dan lebih empat tan bahan letupan ditemui selepas itu. Kira-kira 20 negara telah mengeluarkan amaran perjalanan sejak itu tetapi pada masa ini kebanyakan negara telah menarik balik amaran itu. BERNAMA

Artikel Berikut

10 Cedera Serangan Bom Di Yala

Artikel Lain