suria

Presiden Turkmenistan, Gurbanguly Berdymukhamedov Menang Besar

ASHGABAT: Presiden Turkmenistan, Gurbanguly Berdymukhamedov pada Isnin memperolehi kemenangan besar dalam pilihan raya presiden dengan memperolehi 97 peratus undi.

Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Orazmurat Niyazliev kepada para pemberita.

Tujuh orang calon bertanding menentang Gurbanguly Berdymukhamedov tetapi tidak ada seorang pun yang berani mengkritik kepimpinan presiden itu sewaktu kempen berlangsung.

Berdymukhamedov mengambil alih kuasa pemerintahan pada 2006 selepas kematian diktator Saparmurat Niyazov.

Berada di tempat kedua ialah Menteri Tenaga dan Industri, Yarmukhammet Orazgulyev, yang hanya sekadar berjaya memperolehi 1.2 peratus undi.

Sesuatu yang lazim bagi negara-negara bekas Kesatuan Soviet ialah penyandang jawatan selalunya memperolehi kemenangan melebihi 90 peratus undi.

Rakan sejawatan Berdymukhamedov dari negara jiran, Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev, tahun lalu memperolehi lebih 95 peratus undi dalam pilihan raya presiden untuk memerintah bagi penggal kelima.

Jumlah yang keluar mengundi dicatatkan pada kadar 96.7 peratus yang juga bermakna, hampir kesemua daripada tiga juta rakyat yang layak keluar mengundi.

Ini adalah pilihan raya yang ketiga bagi Turkmenistan selepas era Kesatuan Soviet.

Jika bekas presiden Niyazov digelar "Turkmenbashi" atau bapa kepada segala Turkmens, Berdymukhamedov pula dikenali dengan panggilan "Arkadag" atau 'Pelindung'.

Artikel Lain