suria

Lawatan Yingluck Perkukuhkan Hubungan Thailand-Malaysia

BANGKOK: Lawatan Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra ke Malaysia pada 20 Februari akan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala baik yang sedia terjalin antara kedua-dua negara.

Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Nazirah Hussain hari ini berkata lawatan itu lebih bersifat lawatan memperkenalkan diri oleh Yingluck.

Yingluck yang mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada Ogos tahun lepas dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya Datuk Seri Najib Tun Razak pada lawatan sehari itu.

Selain mengadakan mesyuarat dua hala, kedua-dua pemimpin juga dijanga mengeluarkan kenyataan bersama pada akhir mesyuarat itu, katanya kepada Bernama selepas mengadakan pertemuan dengan kalangan pengamal media tempatan dan antarabangsa di Kedutaan Malaysia di sini.

Sebelum lawatan rasmi itu, kedua-dua pemimpin telah bertemu pada Sidang Kemuncak Asean dan Sidang Kemuncak Asia Timur di Bali November tahun lepas.

"Ia akan menjadi lawatan yang amat penting dalam memperkukuhkan lagi hubungan rapat antara kedua-dua negara," kata Nazirah.

Beliau berkata hubungan antara kedua-dua negara berjiran sememangnya akrab.

Yingluck sebelum ini merancang melawat Malaysia pada 10 Oktober tahun lepas tetapi terpaksa menangguhkannya ekoran banjir besar yang melanda negara itu.

Terdahulu, Nazirah memainkan peranan sebagai "jurujual Malaysia" kepada kira-kira 50 wartawan tempatan dan antarabangsa dengan memberikan penjelasan mengenai hubungan Thailand-Malaysia serta Program Ekonomi Malaysia untuk memacu pertumbuhan negara ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020.

Beliau turut menyentuh mengenai pilihan raya umum yang bakal diadakan di Malaysia dan sistem monarki berperlembagaannya.

Mengenai bidang ekonomi, duta itu turut memberikan taklimat mengenai hubungan Malaysia-Thailand dalam sektor perdagangan, pelaburan, pelancongan dan pertanian.

Beliau turut mempromosikan MIHAS (Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Malaysia) akan datang, pameran perdagangan produk halal terbesar di dunia, persidangan PATA (Persatuan Pelancongan dan Pengembaraan Asia Pasifik), program Warna-Warni 1Malaysia, Jualan Mega, Perarakan Pelancongan Floral dan tarikan pelancongan terbaru di Malaysia - Johor Premium Outlet dan Legoland. -BERNAMA

Artikel Lain