suria

Sayap Pesawat A380 Qantas Didapati Retak

MELBOURNE: Keretakan yang ditemui di sayap pesawat A380 Qantas tidak memberi sebarang kesan kepada keselamatan penerbangan dan ia akan kembali terbang dalam masa seminggu, kata syarikat penerbangan itu. Tujuh orang cedera semasa dalam penerbangan pesawat A380 apabila ia mengalami keadaan cuaca bergelora yang teruk akibat daripada ribut yang melanda India semasa penerbangan dari London ke Singapura bulan lepas.

Selepas insiden itu, pesawat tersebut dinilai oleh jurutera dan dibenarkan untuk meneruskan perjalanan dari Singapura ke Sydney.

Bagaimanapun ia tidak dibenarkan terbang pada Ahad selepas retakan kecil ditemui semasa pemeriksaan tambahan bagi sayap yang diminta oleh Airbus, Australian Associated Press memetik jurucakap Qantas, sebagai berkata pada Rabu.

"Keretakan ini tidak berkaitan dengan cuaca bergelora atau khusus kepada Qantas tetapi berpunca daripada isu-isu pembuatan.

"Airbus mengesahkan ia tidak memberi kesan kepada keselamatan penerbangan," kata jurucakap itu.

Beliau berkata syarikat penerbangan itu akan menunggu nasihat daripada Airbus mengenai sama ada pemeriksaan lanjut perlu dibuat bagi pesawat lain.

Artikel Lain