suria

Puluhan Ribu Penunjuk Perasaan Berarak Di Moscow, Tolak Pemerintahan Putin

MOSCOW: Puluhan ribu rakyat Rusia berarak di Moscow dalam keadaan cuaca sejuk pada Sabtu sebagai membantah pemerintahan Vladimir Putin sebelum bermulanya pilihan raya presiden dalam tempoh sebulan lagi.

Perhimpunan kali ketiga dalam tempoh kurang dua bulan itu merupakan ujian getir kepada Putin untuk mengekalkan kuasanya walaupun beliau sebelum ini enggan memenuhi beberapa tuntutan penunjuk perasaan termasuk melaksanakan semula pilihan raya parlimen pada Disember.

Penyokong kerajaan turut akan mengadakan perhimpunan yang digelar sebagai demonstrasi 'anti-Orange'.

Putin berterima kasih kepada penyokongnya dan menasihatkan mereka supaya memakai pakaian sejuk.

Beberapa aduan mengenai kakitangan kerajaan di negara itu diberi wang supaya menghadiri perhimpunan pro-Putin turut dilaporkan beberapa hari ini.

Akhbar pembangkang, Novaya Gazeta melaporkan, Ahli Parlimen turut dipaksa menyertai perhimpunan tersebut di Poklonnaya Gora War Memorial Park.

Perhimpunan anjuran kumpulan pembangkang disebarkan menerusi laman sosial, Facebook.

Lebih 27,800 penunjuk perasaan mengesahkan diri untuk menyertai perhimpunan itu.

Dua perhimpunan terdahulu diadakan pada 10 dan 24 Disember tahun lalu.

Ia merupakan perhimpunan terbesar dalam sejarah Rusia sejak Putin memegang jawatan selaku presiden pertama dan kemudiannya perdana menteri dalam tempoh 12 tahun.

Artikel Lain