suria

Feri Bawa 350 Penumpang Karam Di Luar Papua New Guinea

PORT MORESBY: Para penyelamat telah menyelamatkan seramai 50 orang dari luar pantai timur Papua New Guinea (PNG) selepas sebuah feri yang membawa seramai 350 orang karam pada Khamis, kata seorang pegawai.

Menurut pihak berkuasa keselamatan maritim Australia dalam satu kenyataan berkata, sebuah pesawat dari Australia, tiga helikopter dan enam kapal di tempat kejadian dalam usaha mencari mereka yang lain selepas MV Rabaul Queen karam dalam perjalanan dari Kimbe di Pulau New Britain ke tanah besar pantai Lae.

Perdana Menteri Australia, Julia Gillard menyifatkan insiden terbabit sebagai “tragedi besar” dan berkata, negara beliau akan memberikan bantuan kepada negara jirannya.

“Kemungkinan terdapat kehilangan nyawa sangat tinggi di sini. Saya fikir apabila berita ini mendapat perhatian penduduk Australia di seluruh negara, mereka akan memikirkan orang-orang di PNG sebagai respon kepada tragedi ini,” tambahnya.

Agensi maritim di Australia pada mulanya mengesan isyarat kecemasan yang dikeluarkan oleh feri berkenaan dan memberi amaran itu kepada Pusat Penyelarasan Penyelamat Maritim PNG di mana menyelaras usaha menyelamat itu.

Kenyataan agensi itu berkata “setakat ini, kira-kira 50 orang telah diselamatkan.”

Ia berkata, dipercayai seramai 350 orang berada dalam feri itu.

Penyelaras penyelamat Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Kebangsaan PNG (NSMA), Kapten Nurur Rahman berkata, angka sebenar berkemungkinan lebih rendah.

“Saya tidak dapat mengesahkan atau menafikan bilangan 350 orang yang hilang. Ia adalah desas-desus,” kata Rahman.

“Saya tidak melihat jumlah yang sebenar tetapi ia mungkin kira-kira 300 orang,” katanya.

Rahman berkata, beliau mendapatkan maklumat daripada ejen NMSA yang berada di salah satu kapal berkenaan.

“Yang dinamik mengenai perkara ini adalah ia berubah setiap masa, dari mini ke minit,” katanya.

Pengendali feri, Star Ships tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komen berhubung kejadian. - AP

Artikel Lain