suria

Facebook Secara Rasmi Mohon Disenarai Awamkan Di Wall Street

WASHINGTON: Para pelabur dan peminat laman sosial kini sedang dilanda demam Facebook selepas rangkaian sosial gergasi itu memfailkan permohonan kepada Wall Street untuk membuat tawaran awam yang dijangka bakal menarik dana AS$5 hingga AS$10 bilion.

Tawaran awam permulaan ini akan menjadi yang terbesar dalam sejarah Wall Street melibatkan sebuah syarikat internet.

Kertas makluman mengenai hasrat Facebook untuk membuat tawaran awam ini turut mendedahkan beberapa perkara tentang sejarah pembentukan Facebook lapan tahun dahulu oleh Mark Zuckerberg dari dalam bilik asramanya di Universiti Harvard.

Zuckerberg, yang baru berusia 19 tahun apabila dia mencipta rangkaian sosial itu, telah menyatakan kepada bakal-bakal pelabur baru apakah nilai-nilai utama yang menjadikan Facebook satu produk yang kukuh dan turut menyatakan ketika Facebook dicipta "ia bukanlah untuk menjadikannya sebuah syarikat atau firma gergasi."

"Ia dicipta untuk memenuhi misi sosial - untuk menjadikan dunia ini lebih terbuka dan saling berhubungan," katanya lagi dalam mukadimah profil permohonan untuk menyenaraikan Facebook kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa di sini Khamis.

Facebook memohon untuk menggunakan nama singkat "FB" untuk penyenaraian itu.

Jika Facebook berjaya mengutip pelaburan dari tawaran awam sehingga AS$5 bilion sebagaimana yang dirancang, ia akan mengatasi penyenaraian awam enjin pencaru Google yang berjaya mengutip AS$1.9 bilion apabila ia menjadi syarikat awam pada tahun 2004 dengan nilai semasa berjumlah AS$23 bilion.

Para pemerhati pasaran berkeyakinan bahawa dana awam yang mampu dikumpul dari tawaran awam Facebook ini sebenarnya boleh mencecah sehingga AS$10 bilion.

Jumlah pendapatan Facebook tahun lalu berjumlah AS$3.7 bilion.

Facebook adalah rangkaian sosial utama di seluruh dunia kecuali di enam buah negara dengan jumlah pengguna seramai 845 juta orang termasuk 483 juta yang mengemaskini data mereka setiap hari.

Nilai semasa Facebook kini dianggarkan AS$75 bilion hingga AS$100 bilion.

Ini meletakkan Facebook setaraf dengan McDonald (AS$101 bilion), Boeing (AS$55 bilion) Apple (AS$426 bilion) dan Google (AS$189 bilion).

Nilai kekayaan semasa Zuckerberg sendiri kini dianggarkan berjumlah AS$17.5 bilion oleh majalah bisnes Forbes.

Beliau kini adalah pemegang saham terbesar Facebook dan mengawal 57 peratus kuasa mengundi dalam lembaga pengarah.

Bagaimanapun Zuckerberg bukanlah penerima imbuhan terbesar dalam pengurusan tertinggi Facebook.

Sheryl Sandberg, yang ditarik masuk ke dalam pengurusan tertinggi Facebook dari Google empat tahun lalu untuk berkhidmat sebagai ketua pegawai operasi memperolehi pendapatan sehingga AS$30.5 juta tahun lalu sementara Naib Presiden, Mark Schroepfer menerima gaji dan imbuhan sehingga AS$24.7 juta.

Zuckerberg hanya menerima pendapatan sebagai anggota pengurusan sebanyak AS$1.49 juta sahaja.

Bagaimanapun jumlah itu tidak termasuk nilai saham beliau dalam rangkaian sosial tersebut.

Artikel Lain