suria

Kesemua 25 Pekerja Dari China Yang Diculik Di Sinai Mesir Dibebaskan

BEIJING: China mengesahkan pada Rabu bahawa kesemua 25 warga mereka yang diculik oleh sekumpulan puak badawi Mesir di Semenanjung Sinai telah berjaya dibebaskan.

Insiden ini berlaku hanya beberapa hari selepas 29 lagi warga China turut diculik di Sudan Sabtu lalu oleh puak pemisah ketika mereka sedang bekerja membina sebuah projek membina jalan raya di selatan negara itu. Kesemua mereka belum lagi dibebaskan.

"Kami boleh mengesahkan bahawa kesemua warganegara kami seramai 25 orang yang telah diculik di Sinai telah berjaya dibebaskan," kata seorang jurucakap Kedutaan China di Kaherah dipetik sebagai berkata.

Mereka kini berada di bawah perlindungan pasukan tentera Mesir. Tidak ada yang tercedera atau terbunuh dalam kejadian itu.

Kesemua warga China itu yang terdiri daripada jurutera dan juruteknik bekerja dengan sebuah kilang simen milik tentera di Sinai telah diculik pada pagi Selasa ketika sedang dalam perjalanan ke tempat kerja.

Kumpulan puak badawi yang menculik mereka menuntut pembebasan lima orang badawi yang ditahan pihak berkuasa kerana disyaki terlibat dalam serangan ke atas kawasan peranginan Taba pada 2004.

Bagaimanapun adalah tidak jelas bagaimanakah kesemua 25 pekerja dari China itu dibebaskan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain