suria

Calon Utama Jawatan Presiden AS Mitt Romney Diberi Perlindungan Perkhidmatan Rahsia

TAMPA (Florida): Calon Parti Republikan untuk kerusi presiden Amerika Syarikat, Mitt Romney telah mencapai tahap layak untuk menerima perlindungan keselamatan daripada Perkhidmatan Rahsia (Secret Service).

Perkhidmatan Rahsia berperanan memberi perlindungan kepada dua institusi sahaja iaitu presiden/bekas presiden/calon utama presiden dan juga kepada keselamatan mata wang dollar.

Sumber-sumber dalaman kepada pasukan kempen Romney berkata, Perkhidmatan Rahsia akan memberikan perlindungan keselamatan kepada bekas Gabenor Massachusetts itu mulai lewat Rabu.

Selepas mengkaji permohonan rasmi yang dibuat oleh pihak Romney untuk menerima perlindungan keselamatan Perkhidmatan Rahsia, pihak pentadbiran berpuashati mereka telah memenuhi kreteria-kreteria yang ditetapkan.

Ini termasuklah Romney kini telah menjadi calon utama jawatan presiden dan telah membuktikan beliau berjaya mengutip dana yang besar untuk kempennya.

Dalam sistem pilihan raya jawatan presiden Amerika, setiap calon dari parti yang ingin bertanding mestilah terlebih dahulu bersaing di peringkat parti masing-masing untuk menentukan siapakah calon yang paling layak.

Calon-calon ini akan bertanding sesama mereka terlebih dahulu dalam satu konvensyen kebangsaan dan siapa yang menang akan mewakili parti berkenaan bertanding jawatan presiden Amerika.

Parti Demokrat yang merupakan pencabar utama Parti Republikan untuk jawatan presiden kali ini tidak perlu memilih calon dari kalangan mereka kerana Presiden Barack Obama telah mengisytiharkan keputusannya untuk mempertahankan jawatan berkenaan.

Undang-undang Amerika juga membenarkan calon-calon yang masuk bertanding ini sama ada di peringkat kelayakan parti masing-masing atau di peringkat yang sebenar mengumpul dana menerusi sumbangan orang-ramai.

Calon-calon ini akan mengemukakan manifesto mereka dan orang-ramai yang berasa bahawa manifesto tersebut perlu disokong untuk kebaikan negara dibenar menyumbang dana kempen.

Dalam kes Mitt Romney, selepas berjaya memperolehi kemenangan di peringkat partinya di negeri Florida pada Selasa, beliau telah berada dalam kategori calon utama mewakili Parti Republikan.

Majlis kempennya telah menjadi semakin besar dan pasukan kempennya berhadapan dengan masalah besar untuk mengawal dan memastikan keselamatannya terjamin.

Buat masa ini pun mereka telah mengupah bekas-bekas ajen perkhidmatan Rahsia untuk menjadi pengawal keselamatan Romney.

Perkhidmatan Rahsia Amerika adalah agensi di bawah seliaan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.

Amerika tidak mengamalkan sistem kementerian tetapi sebaliknya menggunakan sistem jabatan.

Dan menteri yang mengetuai jabatan itu tidak dipanggil 'menteri' sebaliknya dinamakan 'setiausaha'.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain