suria

Calon Presiden Rusia Vladimir Putin Tidak Tolak Kemungkinan Pilihan Raya Dua Pusingan

MOSCOW: Perdana Menteri Rusia yang juga calon jawatan presiden, Vladimir Putin tidak menolak andaian bahawa pilihan raya presiden Mac depan mungkin terpaksa diadakan sebanyak dua pusingan sekiranya tidak jelas siapakah yang berjaya memperolehi undi majoriti selesa.

Bagaimanapun beliau memberi amaran bahawa sebarang langkah ke arah itu berkemungkinan besar juga membawa kepada ketidakstabilan politik dalam negara.

"Dalam situasi sekarang saya faham ada kemungkinan undian pusingan kedua akan diperlukan untuk menentukan siapakah yang layak memerintah Rusia sebagai presiden dan saya rasa walaupun situasi itu akan membawa kepada ketidakstabilan tetapi saya sudah bersedia untuk menghadapinya," ujar Putin kepada sebuah agensi berita Rusia.

Putin menegaskan tidak ada apa yang perlu dikhuatirkan tentang itu dan bersedia untuk berhadapan dengan undian pusingan kedua jika keadaan memaksa.

Pilihan raya presiden Rusia akan berlangsung pada 4 Mac depan iaitu kurang lebih sebulan sahaja lagi dari sekarang tetapi protes ke atas pilihan raya parlimen yang menyaksikan parti pimpinan Putin berjaya menguasai parlimen telah menjejaskan reputasi dan perjalanan harian pentadbiran negara itu.

Undang-undang Rusia tidak membenarkan seorang presiden memegang jawatan melebihi dua penggal dan Putin yang telah pun memerintah Rusia selama dua penggal sebelum ini telah menyerahkan jawatannya itu kepada orang kepercayaannya yang juga Perdana Menteri Dmitry Medvedev.

Tetapi perlembagaan Rusia membenarkan seorang bekas presiden kembali bertanding dalam penggal berikutnya dan inilah yang cuba dilakukan oleh Putin Mac depan iaitu kembali sebagai presiden untuk penggal yang ketiga.

Kali ini beliau berhasrat untuk menyerahkan kembali jawatan perdana menteri kepada Medvedev sebagaimana Medvedev mengambil alih jawatan presiden daripadanya dalam penggal terdahulu.

Presiden Rusia bertanggungjawab melantik perdana menteri yang merupakan penggerak jentera harian kerajaan pusat.

Presiden bagaimanapun berkuasa penuh ke atas urusan diplomatik dan juga ke atas urusan keselamatan negara.

Rating populariti Putin sejak berakhirnya pilihan raya parlimen beberapa bulan yang lalu telah menjunam dengan teruknya sejak beliau pertama kali diperkenalkan sebagai pemimpin masa depan Rusia oleh mentornya Boris Yeltsin suatu ketika dahulu.

Kini pencabar utama Putin ialah pemimpin Parti Komunis Rusia, Gennady Zyuganov.

Para penganalisa berkata, seandainya Putin berjaya memenangi pilihan raya presiden tanpa perlu kepada pengundian pusingan kedua, ini bermakna, kemenangannya itu mendapat pengiktirafan daripada rakyat Rusia yang mahukan beliau kembali memimpin Rusia.

Tetapi jika undian terpaksa dilakukan menerusi pusingan kedua, Putin akan berada di dalam masalah besar memimpin sebuah negara yang berpecah dua.

Dalam pada itu pihak pembangkang dan pengkritik siang-siang lagi telah membuat andaian bahawa kerajaan yang memerintah sekarang akan menipu kiraan undi bagi membolehkan Putin menang pada pusingan pertama - sekaligus melenyapkan peluang lawan untuk memberi saingan sebenar pada pusingan kedua.

Pada pilihan raya 1996, Zyuganov yang ketika itu bertanding menentang Boris Yeltsin telah memberi saingan kuat sehingga memaksa pengundian pusingan kedua dilakukan dan ini mencetuskan kebimbangan di seluruh negara yang Rusia akan kembali kepada pemerintahan komunis.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain