suria

Jutawan China Yang Dihukum Penjara 15 Tahun Minta Dibicarakan Semula

BEIJING: Seorang jutawan China yang melarikan diri ke Kanada dan kemudiannya dihukum penjara atas kesalahan menipu selepas dia dihantar pulang ke negara asalnya oleh pihak berkuasa Kanada kini memfailkan rayuan ke atas hukumannya itu.

Zeng Hanlin, 66, telah melarikan diri ke Kanada pada 2004 untuk mengelak dakwaan telah dihantar pulang oleh pihak berkuasa Kanada Mac tahun lalu walaupun terdapatnya kempen untuk menghalang tindakan tersebut atas alasan dia akan menjadi mangsa deraaan dan pendakwaan.

Sebuah makkamah di bandar Chengdu awal bulan ini telah mendapati Zeng bersalah atas dakwaan menipu dalam satu skim perniagaan dan kegagalan beberapa urusan perniagaan yang lain dan memenjarakannya selama 15 tahun.

"Kami telah pun mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Agung Chengdu," kata anak Zeng, Sam kepada agensi berita AFP.

Peguamnya, Yang Zhaodong pula memberitahu AFP, walaupun rayuan itu telah difailkan minggu lepas, mereka masih belum menerima sebarang pengesahan mengenai tarikh perbicaraan kes rayuan itu.

Kanada, yang tidak mengamalkan hukuman berat seperti gantung dan penjara seumur hidup turut mengamalkan langkah tidak menghantar pulang sebarang suspek yang mungkin akan dikenakan hukuman bunuh di negara asal mereka. Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini Kanada telah menghantar pulang mereka yang berada dalam senarai yang dikehendaki oleh pihak berkuasa China.

Tahun lalu, pihak berkuasa Kanada telah menghantar pulang tauke penyeludupan manusia Lai Changxing selepas 12 tahun terlibat dalam ‘pergelutan perundangan’ dan hanya bersetuju untuk berbuat demikian selepas Beijing memberi jaminan tidak akan mengenakan hukuman berat jika didapati bersalah.

Keluarga Zeng bertegas bahawa bapa mereka tidak bersalah dan mahukan perbicaraan terbuka di Beijing.

"Kami tidak mahu Mahkamah Chengdu membicarakan bapa kami kerana beberapa maklumat penting telah diketepikan oleh mahkamah malah pihak media diharamkan daripada membuat liputan sepanjang perbicaraan dan kami mengesyaki sesuatu yang tidak adil telah berlaku," ujar anaknya lagi.

Sam juga berkata, mereka tidak akan membuat sebarang sidang akhbar berhubung isu tersebut di Toronto, Kanada minggu depan iaitu sejurus sebelum lawatan rasmi Perdana Menteri Stephen Harper ke China tetapi menegaskan bahawa mereka secara rasmi telah memohon kepada Harper agar membangkitkan isu tersebut ketika mengadakan perbincangan dengan pemimpin China.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain