suria

Pemimpin Komunis Maoist Nepal Dikecam Selepas Berpindah Ke Rumah Agam

KATHMANDU: Ahli politik Nepal yang mengetuai gerakan gerila komunis selama 10 tahun yang menyebabkan 16,000 orang terkorban pada Isnin dikecam selepas beliau didapati berpindah ke sebuah rumah agam yang dilihat serba mewah di pinggir bandar ini.

Pushpa Kamal Dahal, yang juga turut dikenali sebagai Prachanda atau "Sang Bengis" adalah bekas pemimpin gerila komunis yang menentang pemerintahan diraja Nepal selama bertahun-tahun.

Rumah agam itu yang disewa oleh Parti Maoists yang memerintah mempunyai 15 buah bilik.

"Ini menunjukkan akhirnya pejuang Maoists pula sanggup meninggalkan perjuangan mereka demi kesenangan. Mereka adalah penganut amalan sosialisme tetapi kini mereka telah merasai nikmat kekuasaan dan hidup mewah," kata penganalisis politik, Mumaram Khanal, yang juga bekas pemimpin Maoist.

Prachanda, 58, dilahirkan di kalangan keluarga petani di selatan Nepal, kemudiannya menjadi guru di sekolah kerajaan sebelum diasuh dengan filosofi sosialis oleh para pemimpin komunis Nepal.

Pada 1996, selepas kecewa menyaksikan kehidupan sengsara para petani, Prachanda telah mengetuai satu ketumbukan gerila Maoist yang akhirnya menumbangkan pemerintahan diraja dari Dinasti Shah pada 2008.

Beliau kemudiannya terpilih sebagai perdana menteri untuk satu tempoh yang agak singkat sebelum dilantik sebagai pengerusi Parti Maoists yang memerintah dan ahli parlimen Kathmandu.

Pegawai Khas Prachanda, Samir Dahal berkata, ahli politik itu telah diminta untuk berpindah ke rumah agam tersebut agar kawalan keselamatan ke atasnya dapat dipertingkatkan.

Ini kerana rumah lamanya bukan sahaja sudah usang dan kecil tetapi juga tidak sesuai untuk menerima tetamu luar negara.

Mereka juga memberi alasan, rumah lama Prachanda berada terlalu dekat dengan sebuah stesen bas yang sesak dan beberapa buah rumah berdekat juga sedang dibaiki menyebabkan ia tidak sesuai untuk dijadikan rumah rasmi beliau.

Rumah agam baru ini disewa oleh Parti Maoist pada harga 100,000 rupees (AS$1,300) sebulan - satu angka yang kecil kepada kebanyakan negara tetapi tidak kepada Nepal.

Pihak media tempatan melaporkan rumah agam tersebut milik seorang tuan tanah yang kini bermastautin di Kanada.

Perpindahan ke rumah agam tersebut membolehkan pihak berkuasa menempatkan 70 pengawal keselamatan.

Artikel Lain