suria

Syarikat Penerbangan Spanair Muflis Sebabkan Ramai Penumpang Terkandas

Seorang pekerja Spanair menampal notis pemberitahuan mengenai penutupan pejabat tiket Spanair di lapangan terbang Barajas di Madrid pada Jumaat. - AP
Seorang pekerja Spanair menampal notis pemberitahuan mengenai penutupan pejabat tiket Spanair di lapangan terbang Barajas di Madrid pada Jumaat. - AP
Seorang pekerja Spanair menampal notis pemberitahuan mengenai penutupan pejabat tiket Spanair di lapangan terbang Barajas di Madrid pada Jumaat. - AP

MADRID: Syarikat penerbangan Spanair yang jatuh bankrap secara mendadak dengan membatalkan semua penerbangannya dalam masa singkat menyebabkan ramai penumpang terkandas di lapangan terbang Sepanyol pada Sabtu.

“Syarikat itu telah memutuskan untuk menghentikan operasinya sebagai langkah lebih selamat dan berjaga-jaga berikutan berhadapan dengan kekurangan sumber kewangan bagi beberapa bulan akan datang,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Penerbangan terakhir dijadualkan mendarat pada malam Jumaat, meninggalkan pesaing-pesaingnya seperti Iberia, Vueling dan EasyJet yang masing-masing memberi perkhidmatan kepada penumpang-penumpang yang terkandas.

Media Sepanyol berkata, ia memberi kesan kepada sekurang-kurangnya 22,000 penumpang pada hujung minggu namun jurucakap Spanair tidak segera mengesahkan perkara tersebut kepada AFP.

Seramai 200 penumpang masing-masing terkejut dan berbaris di kaunter Spanair di lapangan terbang Barcelona pada petang Jumaat sejurus selepas pengumuman berkenan dibuat, kata seorang wartawan AFP.

Pihak berkuasa lapangan terbang AENA pada Sabtu pagi berkata, semuanya berjalan seperti biasa di lapangan terbang Barajas di Madrid dan El Prat di Barcelona di mana terdapat lounge khas disediakan untuk para pelanggan Spanair.

“Para penumpang menunggu di zon ini dan syarikat-syarikat penerbangan lain meletakkan mereka dalam penerbangan mereka,” kata seorang jurucakap AENA kepada AFP.

Dia berkata, sebanyak 55 penerbangan Spanair telah dibatalkan di Madrid dan 54 lagi di Barcelona sahaja pada Sabtu serta beberapa penerbangan lain di Palma de Mallorca dan Gran Canaria.

Syarikat itu dalam satu kenyataannya pada Jumaat berkata: “Pengurusan Spanair kesal terhadap perkara yang berlaku dan memohon maaf kepada semua yang terjejas dengan situasi ini.”

Spanair yang diasaskan pada tahun 1986 itu telah berusaha untuk menyelamatkan keadaan dengan mengadakan kerjasama dengan Qatar Airways.

Pihak berkuasa rantau Catalania yang memiliki sebahagian daripada syarikat itu berkata, ia tidak mampu meningkatkan kepentingannya disebabkan oleh krisis kekurangan bajet dan kekangan-kekangan dalam Kesatuan Eropah (EU). - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain