suria

Tiga Terbunuh Dalam Hujan Ribut Di Indonesia

JAKARTA: Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan 35 lagi cedera apabila hujan ribut lebat menumbangkan pokok-pokok, memutuskan bekalan elektrik dan beratus-ratus rumah musnah, kata pegawai rasmi pada Khamis.

“Ribut pada Rabu telah mengorbankan tiga orang; masing-masing seorang di Jakarta, Malang dan daerah Blitar di Timur Jawa,” kata jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho kepada AFP.

“Seorang penunggang beca di Jakarta terbunuh selepas dihempap oleh pokok yang tumbang. Ribut tersebut turut mengorbankan dua orang lagi tetapi kami masih menyiasat punca kematian itu,” katanya lagi.

Agensi itu berkata, ribut yang melanda lapan daerah di Pulau Jawa termasuk Jakarta mencederakan 35 orang.

Menurut laporan terbaru, lebih 450 rumah dan empat sekolah, katanya.

Akhbar The Jakarta Globe berkata, cuaca buruk turut melanda pulau resort Bali yang mengorbankan seorang dan mencederakan enam yang lain.

Nugroho bagaimanapun tidak dapat mengesahkan laporan itu.

Sebuah feri yang membawa lebih 200 penumpang termasuk lima warga Australia yang menuju ke pulau Gili dari Bali hampir karam selepas terperangkap dalam gelora setinggi sehingga tiga meter.

Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan.

Ribut, tanah runtuh dan banjir sering berlaku di Indonesia pada musim tengkujuh terutama antara Disember dan Februari. - AFP

Artikel Berikut

Artikel Lain