suria

Airbus Jamin Keselamatan A380 Walaupun Berlaku Keretakan Kecil Sayap Pada Beberapa Model

PARIS: Pengeluar pesawat super jumbo A380, Airbus Industries pada Khamis mengeluarkan kenyataan memberi jaminan bahawa keretakan kecil yang ditemui pada sayap beberapa pesawat model berkenaan tidak menjejaskan keselamatan sebaliknya boleh diperbaiki dengan mudah.

Kenyataan itu dikeluarkan pada hari yang sama Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah (EASA) mengarahkan 20 buah pesawat dari model berkenaan diperiksa selepas keretakan kecil ditemui pada sayap A380 milik Singapore Airlines, Emirates dan Air France.

"Kami ingin jelaskan bahawa keretakan ini bukanlah petanda pesawat berkenaan sedang menghadapi masalah bebanan atau tekanan," kata Naib Presiden Airbus, Tom Williams.

Sebaliknya kata Williams, ia disebabkan oleh isu rekabentuk dan juga pembuatan.

Bagaimanapun katanya, masalah itu tidak sampai ke tahap menjejaskan keselamatan dan keupayaan pesawat untuk terbang.

Bagaimanapun jurucakap EASA, Dominique Fouda, menegaskan, walau apa sekalipun alasannya, lapan buah pesawat dari model berkenaan mestilah menjalani pemeriksaan penuh menjelang Jumaat manakala 12 lagi dalam tempoh enam minggu dari sekarang.

"EASA berpendapat, perkara paling utama sekarang ialah untuk menentukan keselamatan enam pesawat dari Singapore Airlines dan dua dari Emirates," ujar Fouda.

Dalam pada itu, Singapore Airlines turut mengeluarkan kenyataan bahawa ia telah pun memulakan pemeriksaan menyeluruh ke atas pesawat-pesawat A380 nya.

Empat buah pesawat berkenaan telah pun menjalani pemeriksaan menyeluruh.

Sebuah telah pun dibenarkan untuk terbang semula manakala yang lain masih lagi menunggu lampu hijau dari bahagian penyelenggaraan.

Emirates pula yang buat masa ini memiliki 20 buah pesawat A380 ini dan sedang menunggu lagi 70 tempahan untuk tiba menegaskan bahawa mereka turut melaksanakan pemeriksaan menyeluruh ke atas pesawat-pesawat berkenaan.

Begitu juga dengan Air France yang memiliki enam A380.

Super jumbo A380 kini adalah pesawat penumpang terbesar di dunia.

Pesawat dua tingkat ini mula berada di pasaran pada tahun 2007 selepas beberapa tahun tergendala kerana pelbagai masalah teknikal dan rekabentuk.

Kini terdapat 67 buah pesawat A380 beroperasi di seluruh dunia dan walaupun dari semasa ke semasa mengalami pelbagai masalah teknikal tetapi ia belum pernah lagi mencatatkan sebarang malapetaka atau terhempas.

A380 mampu membawa dari 500 hingga 800 orang penumpang pada satu-satu masa bergantung kepada rekabentuk dalaman sebagaimana yang ditempah oleh para pelanggannya.

Artikel Berikut

Artikel Lain