Usul Tidak Percaya Singkir PM, Menteri Luar Thailand - Dunia | mStar

Usul Tidak Percaya Singkir PM, Menteri Luar Thailand

BANGKOK: Pembangkang, Parti Demokrat, mengemukakan usul tidak percaya bagi menyingkirkan Perdana Menteri dan Menteri Luar Thailand berikutan pengeluaran semula pasport kepada bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra.

Dua anggota Parlimen Demokrat Wirat Kallayasiri dan Chaiwut Phongphaew memfailkan usul itu kepada Speaker Senat Teeradej Meepien di sini, Selasa.

Usul itu dikemukakan terhadap Yingluck Shinawatra kerana beliau didakwa gagal membatalkan pasport yang dikeluarkan Kementerian Luar Thailand kepada abangnya.

Mereka mendakwa Menteri Luar Dr Surapong Tovichakchaikul mengeluarkan semula dokumen perjalanan itu meskipun Thaksin telah dihukum penjara dua tahun, tanpa kehadirannya, oleh Mahkamah Agung Thailand kerana kesalahan rasuah.

Thaksin, yang digulingkan dalam satu rampasan kuasa 19 Sept 2006, lari meninggalkan Thailand pada 2008 sebelum disabitkan dengan pertuduhan rasuah berkaitan pembelian sebidang tanah oleh isterinya di kawasan Ratchadaphisek.

Pasport Thaksin dibatalkan ketika kerajaan Thailand di bawah pimpinan Abhisit Vejjajiva. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain