suria

Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia Kemuka Tuntutan Mahkamah Ke Atas AirAsia

SYDNEY: Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia pada Selasa telah mengemukakan Tuntutan Mahkamah Ke Atas AirAsia kerana dikatakan gagal untuk menyatakan harga penuh tiket perjalanan di dalam laman webnya.

Dokumen tuntutan itu difailkan di Mahkamah Persekutuan Melbourne oleh suruhanjaya tersebut.

AirAsia baru sahaja memperkenalkan laluan penerbangan dari Sydney yang dijadualkan bermula April depan.

Ia telah pun mempunyai penerbangan dari Melbourne dan Perth sebelum ini.

Suruhanjaya berkenaan mendakwa, beberapa harga tambang yang dipamerkan dalam laman web AirAsia di Australia tidak menyatakan harga tambang penuh yang merupakan satu kesalahan di negara tersebut.

"Apa-apa perniagaan yang memilih untuk mengiklankan produk mereka pada separuh harga atau harga tertentu mestilah secara jelas menyatakan berapakah harga total (penuh) produk berkenaan," kata Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan media di sini.

Mereka mendakwa, harga perjalanan beberapa destinasi seperti dari Melbourne ke beberapa bandar lain seperti London, New Delhi dan Hangzhou di China, dari Gold Coast ke Ho Chi Minh City dan dari Perth ke Taipei dan Phuket tidak mennyatakan harga penuh.

Kes ini akan didengar pada 2 Mac depan.

Artikel Lain