suria

Negeri Washington Di AS Bakal Jadi Negeri Ke-7 Benarkan Perkahwinan Gay

LOS ANGELES: Negeri Washington di utara Amerika Syarikat (AS) bakal menjadi negeri ke-7 di negara itu yang akan membenarkan perkahwinan gay tidak lama lagi.

Ini berikutan sebahagian besar pembuat undang-undang di Dewan Perwakilan Negeri secara dasarnya cenderung untuk meminda undang-undang bagi menghalalkan perkahwinan sejenis.

Salah seorang anggota dewan, Mary Margaret Haugen, yang mewakili Parti Demokrat berkata, selepas berfikir panjang beliau berpendapat, sudah tiba masanya untuk dewan berkenaan meluluskan satu undang-undang yang membenarkan perkahwinan sejenis atau gay.

"Saya adalah seorang yang berpegang kuat kepada kepercayaan agama Kristian (yang mengharamkan perkahwinan sejenis)...secara peribadinya saya sentiasa berpegang teguh kepada cara-cara perkahwinan tradisional di antara pasangan lelaki dan perempuan. Inilah apa yang saya percaya dan pegang sehingga ke hari ini.

"Tetapi isu ini bukanlah isu tentang apa yang saya percaya. Ia adalah mengenai soal menghormati hak orang lain, termasuklah mereka yang mungkin berpegang kepada kepercayaan dan nilai-nilai lain daripada kepercayaan saya.

"Ia adalah sama ada setiap orang mempunyai peluang dan hak yang sama rata dengan orang lain termasuklah diri saya," ujarnya dalam laman web peribadinya.

Ahli politik wanita itu sebelum ini menegaskan kepada dewan bahawa beliau lebih selesa sekiranya isu ini diserahkan kepada rakyat melalui satu referendum untuk diputuskan.

"Saya tidak pasti apakah ini boleh dilakukan tetapi jika saya terpaksa membuat undian bagi menentukan perkara ini maka saya memilih untuk memberi hak sama rata kepada semua lelaki dan wanita menikmati hak kesaksamaan perkahwinan sebagaimana yang telah saya sendiri nikmati," ujarnya lagi.

Sebelum ini, enam negeri di AS - Connecticut, Iowa, Massachusetts, New Hampshire, New York dan Vermont termasuk ibu negara iaitu District of Columbia - telah meluluskan undang-undang yang membenarkan perkahwinan sesama jantina.

Dan baru-baru ini, sekumpulan 80 Datuk Bandar dari seluruh AS - termasuk Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg, Datuk Bandar Chicago, Rahm Emanuel (bekas Ketua Staf White House), Antonio Villaraigosa dari Los Angeles dan Annise Parker dari Houston - telah pun mengumumkan satu kempen besar-besaran untuk memperolehi sokongan agar perkahwinan sesama jantina diiktiraf di peringkat persekutuan.

Artikel Lain