suria

Jenayah Bunuh Di Guatemala Meningkat Kepada 24,000 Orang Dalam Tempoh 4 Tahun

GUATEMALA CITY: Angka kematian akibat jenayah bunuh di negara ini telah meningkat kepada 24,000 orang dalam tempoh empat tahun - iaitu satu angka yang sangat luar biasa dan hampir kesemuanya dikaitkan dengan sindiket dadah.

Angka ini jauh lebih tinggi berbanding dengan dua pentadbiran kerajaan yang lalu.

Menurut sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Grupo de Apoyo Mutuo (GAM), sejumlah 14,000 pembunuhan telah dilaporkan dari tahun 2000-2004; 21,511 (2004-2008) dan yang terbaru 24,021 jenayah pembunuhan telah dicatatkan dari 2008-2012.

Dalam kejadian terbaru Sabtu lalu, lapan orang dilaporkan terbunuh manakala 20 lagi cedera berhampiran ibu kota ini apabila sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah sebuah kelab malam.

Presiden baru Guatemala, Otto Perez, bekas seorang jeneral tentera telah mengisytiharkan perang habis-habisan ke atas kartel dadah dan juga pertubuhan kongsi gelap yang menguasai rantaian dadah di negara berkenaan.

Guatemala kini mempunyai 14 juta penduduk sebahagian besarnya hidup di dalam kemiskinan.

Artikel Lain