suria

Pemotong Kayu Mati Diterkam Harimau Di Sumatera

JAKARTA: Seorang pemotong kayu mati dipercayai diterkam harimau di kawasan hutan Baru Nalo, daerah Maringin, negeri Jambi, Sumatera.

Penduduk kampung menemui mayat Sargawi dalam keadaan mengerikan pada Sabtu dengan beberapa bahagian badan yang telah terpisah, sehari setelah beliau dilaporkan hilang.

Polis percaya lelaki berusia 33 tahun dari kampung Sungai Pinang itu telah diterkam harimau ketika sedang mencari kayu dalam hutan pada Jumaat.

Sargawi masuk ke hutan bersama beberapa rakan lain untuk mencari kayu bagi membuat rumah dan mereka telah tinggal bersama di sebuah kem penginapan dalam hutan itu. Kali terakhir beliau dilihat oleh rakan-rakannya ialah pada Khamis ketika sedang mencari kayu dan didapati hilang sejak pagi Jumaat.

Penduduk dengan bantuan polis sedang mencari harimau yang dipercayai menerkam Sargawi untuk ditangkap dan dipulangkan ke habitat asalnya.

Jika tidak, mereka mereka bimbang harimau berkenaan akan terus mengancam keselamatan penduduk kampung. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain