suria

Menteri Turun Padang, Redakan Kebimbangan Ancaman Pengganas

BANGKOK: Bagi meredakan rasa takut akan ancaman pengganas terhadap pelancong di bandar raya ini, Menteri Pelancongan dan Sukan Chumpol Sinlapaarcha melawat kawasan pelancongan terkenal di Jalan Khao San malam Khamis.

Beliau bertemu pelancong dan peniaga serta meminta mereka menaruh keyakinan terhadap tahap keselamatan di negara ini.

"Jangan bimbang. Yakinlah kepada Thailand. Kami akan pastikan keselamatan anda terjamin sepanjang anda berada di negara ini. Kami juga akan pastikan semua kawasan tumpuan pelancong selamat," katanya.

Seorang pelancong, Didrich Albersen, 25, berkata lawatan menteri itu cukup baik dalam mewujudkan keyakinan pada kalangan pelancong.

"Saya tidak mahu membatalkan percutian saya semata-mata kerana ancaman pengganas. Lagipun tidak ada kawasan yang 100 peratus selamat di dunia ini," kata Albersen yang kali ketiga melawat negara ini.

Chutima Taweejulawong, 50, yang menjual tali pinggang di kawasan itu, berkata beliau tidak mahu melihat sebarang bencana berlaku di kota raya ini memandangkan Thailand sudah mengalami terlalu banyak masalah seperti banjir dan demonstrasi jalanan.

Beliau juga berkata secara keseluruhan, bilangan pelancong yang mengunjungi kawasan itu tidak merosot sekalipun ada ancaman pengganas.

Beberapa kedutaan asing di negara ini telah mengeluarkan amaran ancaman keganasan sejak minggu lepas, yang menyatakan kemungkinan berlaku serangan pengganas di kawasan tumpuan pelancong di bandar raya ini dalam masa terdekat.

Artikel Lain