suria

Tentera Maldives Tangkap Hakim Kanan

MALE: Pasukan tentera Maldives telah menangkap Ketua Hakim Mahkamah Jenayah di negara ini selepas beliau melepaskan seorang pemimpin pembangkang yang telah ditahan tanpa waran kerana didakwa memfitnah kerajaan.

Penangkapan Hakim Abdulla Mohamed pada Isnin bagaimanapun telah mencetuskan bantahan jalanan yang diadakan secara ringkas di ibu negara kepulauan Lautan Hindi itu.

Penangkapan hakim oleh tentera pernah berlaku sebelum ini di Maldives, yang baru-baru ini menjadi negara multi-parti demokrasi selepas 30 tahun pemerintahan autokratik.

Jurucakap Pasukan Pertahanan Negara Maldives, Kol Abdul Raheem, pada Selasa enggan mengulas mengenai penangkapan itu.

Aktivis pembangkang berkata kejadian ini merupakan tindak balas terhadap keputusan hakim bahawa penahanan pemimpin pembangkang Mohamed Jameel Ahmed sehari sebelum itu adalah tidak sah.

Polis menahan Ahmed kerana didakwa memfitnah kerajaan dalam satu temubual televisyen di mana beliau menuduh kerajaan Presiden Mohamed Nasheed melakukan tugas bertentangan dengan perundangan agama, Islam, dengan mendapat sokongan masyarakat Kristian dan Yahudi.

Perdebatan agama semakin mendapat tempat di negara Islam Sunni yang mempunyai 300,000 penduduk, yang mana mereka dilarang mengamalkan mana-mana kepercayaan lain.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain