suria

Lukisan Picasso Dicuri Dari Balai Seni Lukis Athens

ATHENS: Sebuah lukisan karya Pablo Picasso yang dihadiahkan olehnya kepada Kerajaan Greece telah dicuri dari Balai Seni Lukis Negara Athens bersama dua lagi lukisan lain yang berharga.

Ketiga-tiga lukisan yang dicuri itu dianggarkan bernilai RM22 juta.

Karya Picasso yang merupakan lukisan minyak di atas kanvas dan dihasilkan pada tahun 1939 telah dianugerahkan sendiri oleh Picasso kepada Kerajaan Greek pada tahun 1949 sebagai menghargai penentangan negara itu ke atas kemaraan tentera Nazi Jerman.

Di belakang lukisan tersebut tertera ayat dalam bahasa Perancis; "Untuk rakyat Greek...sumbangan daripada Picasso."

Di samping itu, sebuah lagi lukisan yang dihasilkan pada tahun 1905 oleh pelukis Belanda, Piet Mondrian turut dicuri dari galeri berkenaan bersama-sama sebuah lagi lukisan hasil karya artis Itali dari abad ke-16 bernama Guglielmo Caccia atau lebih dikenali dengan nama Moncalvo.

Menteri Keselamatan Rakyat, Christos Papoutsis yang bertanggungjawab terhadap keselamatan domestik telah memohon maaf kepada seluruh warga Greek di atas kejadian yang tidak disangka-sangka itu.

Papoutsis menyifatkan kawalan keselamatan di galeri berkenaan sangat lemah dan memalukan.

“Insiden ini menuntut satu penilaian semula ke atas keselamatan kawalan galeri nasional ditimbang semula," kata Papoutsis lagi.

Artikel Lain