suria

Letupan Kereta Cederakan 15 Jemaah Afghanistan

HILLA: Satu letupan kereta mencederakan seramai 15 jemaah Afghanistan ketika mereka dalam perjalanan ke bandar makam Syiah di tengah Iraq pada Isnin, kata pegawai rasmi keselamatan dan perubatan.

Pengeboman yang melanda barat bandar Hilla telah mencederakan sekumpulan jemaah yang sedang menunggu berhampiran sebuah garaj selepas tengah malam, kata seorang pegawai polis di wilayah itu.

“Terdapat 15 orang yang cedera termasuk tiga cedera parah akibat letupan itu,” kata Mohamed al-Shammari, seorang doktor di hospital Hilla.

Seorang pegawai polis yang tidak mahu dikenali memberikan maklumat yang sama.

Jemaah Syiah dari seluruh dunia mengunjungi bandar makam Najaf dan Karbala.

Bilangan mereka meningkat menjelang festival Arbaeen sebagai tanda 40 hari selepas ulang tahun Ashura bagi memperingati pembunuhan Imam Hussein, salah seorang tokoh Syiah Islam yang paling dihormati di kalangan tentera Khalifah Yazid pada tahun 680 selepas Masihi.

Serangan terhadap puak Syiah di Baghdad dan selatan bandar itu pada Khamis lalu telah mengorbankan seramai 70 orang dan lebih 100 cedera menjadikannya sebagai hari paling berdarah di Iraq sejak Ogos tahun lalu. - AFP

Artikel Lain