suria

Nepal Bongkar Rangkaian Dadah Peru-Malaysia, Wanita Thai Ditahan

NEW DELHI: Agensi anti narkotik Nepal mendakwa berjaya membongkar rangkaian dadah berprofil tinggi Peru-Malaysia dengan penahanan wanita rakyat Thailand bersama dadah jenis kokain di Kathmandu.

Berdasarkan bukti, ajen Unit Penguatkuasaan Undang-undang Kawalan Dadah Narkotik Nepal mendapati wanita berusia 36 tahun yang dalam perjalanan bekalan kepada pembeli yang tidak dikenali di Malaysia itu, memasuki hampir enam negara bagi mengaburi anggota keselamatan.

Wanita terbabit, yang dikatakan berkahwin dengan warganegara Eropah, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan pada Rabu malam, bersama satu kilogram dadah jenis kokain, sebelum dia menaiki pesawat.

"Dia mengambil kokain di Peru dan terbang ke beberapa negara untuk mengelak daripada ditangkap.

"Dia telah menempah hotel di Kuala Lumpur untuk penginapan selama lima hari dan sepatutnya menyerahkan dadah itu, mengambil bayaran dan kembali ke rumahnya di Bangkok," kata timbalan ketua unit anti dadah Nepal Penguasa Kanan Polis Nawa Raj Silawl kepada Bernama ketika dihubungi pada Jumaat.

Menurut pasport Thainya, destinasi pertama wanita terbabit ialah ke Indonesia dari Bangkok, singgah di Brazil, kemudian ke Peru di mana dia mengambil dadah itu dan kemudian terbang ke Qatar melalui Argentina, sebelum mendarat di Nepal pada 2 Dis.

"Dia mungkin telah lama menjalankan aktiviti itu dan mereka yang mengupahnya membayar hampir US$30,000 (RM120,000) untuk tugas itu," kata Silawl.

Kokain yang dirampas itu, disimpan dalam bekas logam dan disembunyikan dalam begnya. Kesemua dadah itu dianggar bernilai US$200,000 (RM600,000) dalam pasaran antarabangasa.

Siasatan menunjukkan wanita itu menginap di sebuah hotel di Thamel, kawasan tumpuan pelancong yang popular di Kathmandu, ibu kota Nepal, selama dua hari sebelum berlepas ke Malaysia disyaki untuk mengelak kecurigaan daripada pihak berkuasa Malaysia.

Artikel Sebelum

Artikel Lain