suria

Sarkozy Mulakan Kempen Pilihan Raya Presiden

PARIS: Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy memulakan kempen pilihan raya presiden secara rasmi Ahad sambil memberi ingatan kepada rakyat bahawa masa depan mereka mengharungi tahun 2012 yang penuh dengan cabaran akan ditentukan empat bulan dari sekarang.

Apa yang membimbangkan Sarkozy ialah, pesaing terdekatnya, dari Parti Sosialis, Francois Hollande, sedang mendahuluinya dari sudut populariti.

Sarkozy memulakan kempen pilihan rayanya dengan mengingatkan semula rakyat bagaimana kerajaannya menangani krisis hutan eurozone dengan begitu teliti dan baik sekali.

Beliau turut berjanji akan menangani masalah pengangguran di Perancis dengan satu pengumuman penting menjelang hujung bulan ini.

Data terbaru menunjukkan bahawa pengangguran di Perancis telah mencapai paras tertinggi dalam tempoh 12 tahun.

Jumlah mereka yang mendaftar untuk mendapatkan pekerjaan telah mencecah 2.84 juta orang.

Hollande dalam perutusan tahun barunya berkata, Sarkozy telah gagal mengurus kewangan negara dan masalah pengangguran dan menyeru rakyat mengubah nasib mereka empat bulan dari sekarang dengan mengundi presiden yang baru.

Penyandang jawatan presiden berkhidmat untuk tempoh lima tahun dan rakyat Perancis akan mengundi dalam pusingan pertama April nanti dan jika undi yang diperolehi oleh mana-mana calon tidak mencapai majoriti mudah, pusingan kedua akan berlangsung pada bulan Mei.

Selepas itu, rakyat negara tersebut akan mengundi dalam pilihan raya perwakilan (Parlimen) pada Jun.

Satu tinjauan umum yang diterbitkan 20 Disember lepas menunjukkan Hollande masih mendahului Sarkozy dengan 27 peratus sokongan manakala Sarkozy 24 peratus.

Pada masa yang sama, Sarkozy juga berhadapan dengan saingan daripada calon Parti Barisan Nasional, Marine Le Pen dan Francois Bayrou.

Artikel Berikut

Artikel Lain