suria

Presiden Indonesia Naik Kereta Api Enam Jam Untuk Lawatan Kerja Ke Cilacap

JAKARTA: Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono hari ini menempuh perjalanan enam jam menaiki kereta api ke Cilacap di Jawa Tengah bagi melakukan lawatan kerja dua hari.

Menaiki perkhidmatan Kereta Api Luar Biasa (KLB) milik syarikat Kereta Api Indonesia) dari Stesen Gambir di sini pagi ini, beliau singgah di Stesen Purwokerto pada tengah hari dan mengambil peluang beramah mesra dengan penduduk tempatan.

"Bagaimana khabarnya bapak-bapak, ibu-ibu...baik?" kata Susilo sambil disambut jawapan "baik" daripada penduduk di situ.

Dalam lawatan dua harinya itu, beliau dijadual melakukan upacara pecah tanah satu projek di kompleks kilang minyak Pertamina Cilacap selain merasmikan operasi tiga projek Janakuasa Elektrik Tenaga Wap.

Anggota rombongan yang turut menaiki kereta api bersama Susilo ialah Menteri Penyelaras Politik, Undang-undang dan Keselamatan, Djoko Suyanto, Menteri Penyelaras Bidang Perekonomian, Hatta Rajasa, Menteri Badan Usaha Milik Negara, Dahlan Iskan dan Menteri Setiausaha Negara, Sudi Silalahi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain