suria

Presiden Argentina Akan Jalani Pembedahan Kanser

BUENOS AIRES: Presiden Argentina Cristina Kirchner disahkan menghidap kanser tiroid dan akan menjalani pembedahan pada 4 Januari depan, jelas jurucakap beliau, dalam satu kenyataan.

Kirchner, yang telah mengangkat sumpah jawatan bagi kali kedua penggal keempat jawatannya awal bulan ini, didapati mempunyai kanser pada lobus kanan kelenjar tiroid ketika menjalani pemeriksaan perubatan rutin pada 22 Disember lalu, kata jurucakap Alfredo Scoccimarro.

"Penyakit ini dapat dibendung," tegas Scoccimarro. Ujian yang dijalankan pada Selasa menunjukkan kanser belum merebak ke bahagian limfanya, katanya.

Kirchner yang berusia 58 tahun itu dijangka menghabiskan 72 jam di hospital, dan kemudian menghabiskan masa selama tiga minggu untuk pulih dari pembedahan, katanya. Sepanjang tempoh itu, Naib Presiden Amado Boudou akan menjalankan tugasnya.

Kirchner merupakan salah seorang daripada pemimpin Amerika Latin yang menghidap kanser sejak kebelakangan ini.

Presiden Venezuela, Hugo Chavez, Presiden Brazil, Dilma Rousseff dan Presiden Paraguay Fernando Lugo pernah diserang penyakit ini dan berkata mereka kini bebas kanser.

Bekas Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva telah didiagnosis dengan kanser kerongkong pada akhir Oktober dan telah menjalani rawatan kimoterapi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain