suria

Polis Temui 10 Mayat Di Sebuah Kubur

MEXICO CITY: Pihak pendakwa raya memberitahu, 10 mayat ditemui ditanam di sebuah kubur sulit di Durango yang terletak di selatan Mexico, menjadikan ia kubur ke-14 seumpamanya yang pernah ditemui.

Pihak tentera menemui 10 mayat tersebut di kawasan pinggir kota, kata jurucakap pejabat Pendakwa Raya Raymundo Enriquez.

Penemuan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa pembunuhan yang dipercayai berkaitan dengan keganasan kumpulan pengedaran dadah di negara itu kepada 287 orang.

Peningkatan jumlah kematian itu membuatkan kemudahan penyimpanan mayat Pusat Forensik Durango sesak sehingga menyebabkan mereka terpaksa menyewa trak sejuk.

Setakat ini, pihak berkuasa hanya dapat mengenal pasti 24 mayat tersebut dan kebanyakkannya ditanam semula di tempat mereka ditemui kerana tidak dituntut oleh keluarga masing-masing.

Polis Durango tidak menyatakan motif pembunuhan tersebut dilakukan, tetapi sumber mengatakan ia berpunca daripada perebutan kuasa dalam kumpulan pengedaran dadah terbesar Mexico, Sinaloa.

Pada Isnin, tentera Mexico menyiarkan rekod jumlah tentera yang terbunuh, dicederakan atau diserang sejak lima tahun lalu, iaitu selepas Presiden Felipe Calderon melancarkan operasi besar-besaran terhadap kumpulan pengedaran dadah pada tahun 2006.

Jurucakap tentera, Kolonel Ricardo Trevilla memberitahu media tempatan bahawa terdapat 1,948 serangan berlaku sejak Disember 2006 dan 126 tentera terkorban.

Seramai 2,268 penjenayah pula terbunuh dalam serangan itu menjadikan nisbah tentera kepada penjenayah itu kepada 1:18.

Sepanjang lima tahun itu juga, pihak tentera menahan 2,180 individu yang disyaki penjenayah manakala 348 lagi cedera.

744 tentera juga dilaporkan cedera dalam data yang dibuat bemula 1 Disember 2006 sehingga 19 Disember 2011.

Pada Isnin, pihak Pendakwa Raya juga mengesahkan penemuan anggota badan di beberapa kawasan di tengah bandar Mexico selain pembunuhan seorang budak lelaki yang dijangkakan berlaku pada masa yang sama.

Polis tidak menolak kemungkinan bahawa kedua-dua jenayah tersebut mempunyai kaitan.

Bahagian perut lelaki tersebut ditemui di bandar Pueblo Viejo, selatan bandar Mexico manakala anggota lain ditemui di sebuah plaza.

Pihak berkuasa juga mengesahkan mereka menemui mesej yang ditoreh dengan menggunakan pisau pada perut mayat tersebut, tetapi tidak mendedahkan isi kandungan mesej berkenaan.

Kenyataan juga menyatakan serangan tersebut mungkin berkaitan dengan kejadian tembakan ke atas seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang ditemui pada pagi Isnin. - AP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain