suria

John Travolta Melawat Bosnia

SARAJEVO: Pelakon sensasi Amerika Syarikat (AS), John Travolta pada Rabu, tiba di Bosnia dalam lawatan mengejutnya untuk meninjau lokasi filem Killing Season yang bakal dibintanginya, lapor media tempatan.

Akhbar harian Bosnia, Dnevni Avaz dalam portalnya melaporkan Travolta memandu ke Sarajevo sehari selepas pesawat peribadinya mendarat di Zagreb.

“Saya berada di sini untuk filem terbaru saya,” kata Travolta kepada wartawan di sini.

Bintang filem Grease dan Pulp Fiction itu dilaporkan akan memegang watak utama dalam filem tersebut disamping pelakon Robert De Niro.

Killing Season diarahkan oleh Mark Steven Johnson dan dijangkakan akan memulakan penggambaraan pada 16 Januari ini, mengikut maklumat yang dikeluarkan oleh laman web Comingsoon.net.

Filem aksi tersebut mengisahkan tentang seorang veteran tentera AS yang dilakonkan oleh De Niro yang mencari ketenangan di sebuah kabin di pergunungan Appalachian.

Apabila tentera tersebut menerima kunjungan seorang pelawat berbangsa Eropah (Travolta) kedua-dua mereka memulakan persahabatan tanpa mengetahui bahawa pelawat tersebut adalah bekas tentera Serbia yang mahu membalas dendam.

Sebelum tiba di Sarajevo, Travolta dilaporkan menikmati makan malam di sebuah hotel di Bukit Vlasic yang terletak di tengah Bosnia.

“Travolta memberitahu dia suka dengan makanan dan pesekitaran,” kata Pengurus hotel tersebu, Nikolina Jovanovic.

Pada tahun 2010, pelakon jelita, Angelina Jolie juga pernah melawat Bosnia bagi penggambaran filem In the Land of Blood and Honey iaitu satu kisah cinta yang berlaku pada Perang Bosnia pada tahun 1992 hingga 1995. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain