suria

Eksekutif Pengiklanan Maut Tersepit Lif

NEW YORK: Seorang eksekutif pengiklanan maut selepas pintu lif pejabatnya di Madison Avenue tertutup dan naik ke atas menyebabkan wanita tersebut dihentak di antara lantai bangunan tersebut.

Dua lagi yang berada di dalam lif tersebut hanya mampu melihat mangsa, Suzanne Hart terbunuh.

Mereka diselamatkan daripada lif tersebut yang tersekat di antara tingkat pertama dan kedua bangunan dan dibawa ke hospital untuk bagi pemeriksaan trauma psikologi.

Pihak polis dan bomba mengesahkan bahawa kedua-dua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.

Hart dikatakan sedang melangkah masuk ke dalam lif tersebut dan kakinya tersangkut di pintu lif apabila secara tiba-tiba lif tersebut naik ke atas dalam keadaan pintu lif masih belum tutup sepenuhnya.

Kemalangan itu berlaku pada pagi Rabu, di bangunan pejabat setinggi 26 tingkat dan mangsa bekerja di agensi pengiklanan Y&R, yang dahulunya dikenali sebagai Young & Rubicam.

Siasatan yang dijalankan masih mencari punca kemalangan kerana sistem keselamatan yang digunakan seharusnya mengelak lif tersebut daripada bergerak semasa pintu masih terbuka.

Jurucakap kepada penyelengara bangunan tersebut, Tony Sclafani berkata, kali terakhir lif itu diselenggara adalah pada Jun lalu dan tiada sebarang kerosakan ditemui.

Sclafani menambah, kali terakhir lif tersebut diberi amaran atas sebab keselamatan adalah pada tahun 2003 dan keadaan tersebut telah diselenggara.

Lif tersebut adalah satu daripada 13 lif yang terdapat di bangunan tersebut dan kini dihentikan operasinya sehingga siasatan selesai.

Hart, 41, menetap di Brooklyn, di sini dan pada temu bual dengan bapanya yang menetap di Florida, beliau menyifatkan mangsa sebagai ‘seorang anak perempuan paling berharga yang boleh diimpikan’.

“Tidak ada ayah yang tidak akan berbangga dengan apa yang dikecapinya,” katanya.

Seorang jurucakap bagi Y&R pula memberitahu, syarikat itu baru sahaja mengumumkan akan berpindah daripada bangunan tersebut tanpa menjelaskan sebab perpindahan. - AP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain