suria

Doktor Michael Jackson Diberi Pengawasan Ketat

LOS ANGELES: Doktor Conrad Murray yang telah disabitkann bersalah membunuh Raja Pop, Michael Jackson kini sedang membiasakan diri dengan kawalan keselamatan yang ketat dan pengasingan sel, namun masih bersifat optimistik bahawa beliau akan memenangi rayuan terhadap sabitan tersebut, kata peguamnya pada Selasa.

Peguam Charles Peckham berkata, Timbalan Sherif berpendapat Murray perlu diberikan kawalan keselamatan yang lebih ketat berbanding dengan banduan lain.

“Melayan dia seperti Hannibal Lecter adalah keterlaluan,” kata Peckham merujuk kepada watak pembunuh bersiri popular dalam filem dan novel-novel fiksyen tersebut.

Kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pejabat syerif pula mempertahankan langkah tersebut dan berkata ia adalah untuk keselamatan Murray.

Peguam Murray pada Selasa, memperoleh kebenaran untuk berjumpa dengan anak guamnya bagi berbincang strategi yang akan digunakan dalam saman sivil yang difailkan oleh ayah Michael Jackson atas kematian anaknya.

Peckham bagaimanapun mendakwa, beliau tidak dibenarkan untuk masuk ke penjara meskipun mempunyai perintah mahkamah.

Peguam itu menambah, pegawai penjara akhirnya berlembut dan membenarkan beliau bertemu anak guamnya selepas bercakap dengan pegawai mahkamah sivil yang mengendalikan kes tersebut.

Beliau juga berkata, pertemuan mereka selama 30 minit juga disingkatkan apabila penjara tersebut ditutup dan beliau sedih melihat bagaimana nasib Murray berubah secara drastik.

“Lelaki tersebut yang banyak menyelamatkan nyawa telah melakukan kesilapan, tetapi mereka membalas seolah-olah dia adalah pembunuh yang ganas,” kata Peckham.

Jurucakap dari pejabat syerif, Steve Whitmore berkata, Murray menjadi sasaran banduan lain ‘disebabkan kemasyhuran yang dikecapinya dan juga kaitan di antara dirinya dengan Michael Jackson’.

“Kami hanya mengambil langkah-langkah untuk lebih berjaga-jaga bagi masa sekarang,” tambah Whitmore.

Beliau juga memberitahu, pihaknya akan mencari jalan untuk mengatasi masalah pemenjaraan yang sedang dialami oleh Murray dan menambah, doktor tersebut tidak akan diletakkan di bawah pengasingan untuk semua tempoh penjara yang perlu dijalaninya.

Selain itu, Peckham yang dipenjarakan sejak disabitkan oleh juri pada 7 November lalu juga berasa optimistik bahawa Mahkamah Rayuan akan membenarkan rayuannya.

Peckham melawat Murray selepas doktor tersebut memohon agar mahkamah melantik seorang peguam bagi dirinya untuk proses rayuan atas alasan dirinya ‘tidak berkemampuan’.

Seorang lagi peguam Murray, J. Michael Flanagan juga menyokong kenyatan Peckham.

Beliau yang pernah melawat Murray di penjara sebanyak empat kali berkata, pada kali terakhir lawatannya, Murray dikawal oleh empat orang kakitangan penjara selain turut dihentak di meja.

“Dia tidak boleh menggaru hidungnya,” kata Flanagan dan menambah, beliau turut melihat seorang banduan yang disabitkan bersalah atas tuduhan membunuh berjumpa dengan peguamnya tanpa menghadapi kawalan keselamatan seperti dialami Murray.

Peckham juga berkata, Murray memberitahu bahawa beliau menghargai semua doa dan sokongan yang diterimanya daripada bekas pesakitnya dan juga rakan-rakan.

Murray telah dihukum penjara maksimum empat tahun setelah didapati bersalah membunuh tanpa niat raja pop itu tiga tahun lalu.

Michael Jackson telah didapati meninggal dunia pada 25 Jun 2009 setelah diberikan suntikan sejenis ubat tidur yang sangat kuat oleh Dr Murray.

Ubat tidur itu diberikan setelah penyanyi berkenaan berhadapan dengan masalah tidak dapat tidur yang kronik.

Michael Jackson,50, mengupah Murray dengan bayaran gaji sehingga AS$150,000 sebulan untuk merawat dan menjaga masalah tidurnya sepenuh masa ketika beliau dalam tempoh membuat persediaan dan latihan untuk konsert terbesarnya yang dinamakan “This is It” yang dijadualkan berlangsung di kota London selama beberapa bulan.

Mahkamah telah menetapkan 23 Januari tahun depan sebagai tarikh untuk menentukan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh doktor itu kepada keluarga Jackson dan juga tiga orang anaknya. - AP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain