suria

Doktor Chile Cuba Pisahkan Kembar Siam

Imej yang diambil daripada rakaman video menunjukkan Jessica dan Roberto mencium anak kembar mereka sebelum pembedahan untuk memisahkan kembar siam tersebut bermula. Foto AP
Imej yang diambil daripada rakaman video menunjukkan Jessica dan Roberto mencium anak kembar mereka sebelum pembedahan untuk memisahkan kembar siam tersebut bermula. Foto AP
Imej yang diambil daripada rakaman video menunjukkan Jessica dan Roberto mencium anak kembar mereka sebelum pembedahan untuk memisahkan kembar siam tersebut bermula. Foto AP

SANTIAGO, CHILE: Sejak awal pagi Rabu, Jessica Navarrete dan suaminya berada di hospital dengan perasaan yang tidak menentu kerana mengetahui bahawa pasukan doktor di situ sedang berusaha untuk memisahkan anak perempuan kembar siam mereka.

Pembedahan ke atas kanak-kanak perempuan berusia 10 bulan itu telah bermula sejak Selasa, dan pembedahan tersebut yang merupakan kali ketujuh dinyatakan sebagai yang paling rumit setakat ini.

Dalam pembedahan itu, doktor akan memisahkan kembar tersebut di bahagian atas badan, perut dan bahagian pelvis dan situasi tersebut dapat boleh diikuti oleh penduduk Chile menerusi siaran televisyen atau Internet.

Sejak pagi Selasa, Jessica dan suaminya, Roberto Paredes berkampung di hadapan pintu masuk bilik bedah tersebut, selepas kali terakhir mereka mencium kembar tersebut, Maria Paz dan Maria Jose.

“Sedih dan ia amat menyedihkan,” kata Jessica semasa pembedahan di Hospital Luis Calvo Mackenna, di tengah bandar di sini sedang dijalankan.

“Ia perasaan yang akan dialami oleh semua ibu, tetapi saya percaya bahawa semuanya akan baik dan saya dapat melihat mereka dalam keadaan terpisah kerana itu adalah impian saya.

"Saya menantikan keajaiban daripada Tuhan,” katanya.

Pasangan kembar tersebut pada Selasa dimaklumkan telah kehilangan banyak darah dan Jessica serta Roberto telah merayu kepada masyarakat setempat untuk mendermakan darah mereka.

Doktor kemudiannya memberitahu, mereka mempunyai bekalan yang mencukupi bagi mengatasi masalah tersebut.

Pada tengah malam Selasa, sebahagian daripada kawasan kembar tersebut bercantum telah berjaya dipisahkan.

“Kami telah selesai memisahkan mereka pada bahagian dada dan kini akan memulakan peringkat akhir pembedahan untuk memisahkan kembar tersebut di bahagian abdomen dan pelvis,” kata Francisso Ossandon yang mengetuai pasukan doktor yang menjalankan pembedahan tersebut.

“Setakat ini semuanya seperti yang dirancang. Kami ada mengalami saat-saat sukar terutamanya pendarahan, tetapi dapat diatasi dengan jayanya,” tambah beliau.

Pembedahan tersebut dijangkakan akan selesai pada pukul 4 pagi Rabu waktu tempatan dan secara keseluruhan mengambil masa selama 20 jam.

Hospital di mana pembedahan itu dilakukan sebelum ini berjaya memisahkan tiga pasangan kembar siam, manakala pasangan keempat meninggal dunia semasa pembedahan dilakukan akibat komplikasi jantung.

Kembar siam milik Jessica dan Roberto berkemungkinan situasi paling sukar yang pernah dialami oleh pasukan doktor itu memandangkan mereka berkongsi banyak organ dalaman, termasulkan sistem perkumuhan.

Sebelum pembedahan dilakukan, Ossandon menyifatkan kes kembar tersebut sebagai ‘yang paling rumit pernah dilahirkan di Chile’.

“Kami tidak pernah berhadapan dengan risiko tinggi seperti ini.

“Kami juga tidak mempunyai bayangan atau bagaimana Maria Paz dan Maria Jose akan melalui kehidupan selepas ini,” tambah beliau.

Kira-kira 100 orang terlibat dalam operasi pembedahan tersebut, termasuk 25 pakar bedah dan pakar anestetik.

Kembar tersebut dilahirkan di Hospital Villarrica yang terletak kira-kira 760 kilometer daripada Santiago dan sejak itu diletakkan di bawah pengawasan perubatan yang rapi, selain menggunakan alat bantuan pernafasan untuk terus hidup. - AP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain