suria

Sabun E-Chip Cetus Kekecohan Di Kerala

CHENNAI: Penduduk Kerala menjadi cemas selepas mendapati sabun mandi mereka ditanam dengan cip elektronik.

Bimbang sekiranya cip itu adalah bom atau bertujuan merakamkan mereka dalam keadaan bogel, penduduk Beemapalli di pinggir Thiruvananthapuram, meminta bantuan polis untuk menyelesaikan misteri itu, menurut laporan media tempatan.

Bagaimanapun siasatan polis mendapati ia tidak lebih daripada sabun berasaskan penderia gerakan yang diedarkan oleh firma farmaseutikal asing untuk mengkaji tabiat sanitasi dalam kalangan pengguna.

"Tiada apa yang mencemaskan dan menimbulkan misteri. Ia sama seperti strategi pemasaran lain oleh MNC (syarikat multinasional).

"Cawangan khas polis memutuskan untuk mengumpul dan mengesahkan butirannya daripada agensi penyelidikan itu," kata Pesuruhjaya Polis bandar raya Manoj Abraham kepada sebuah akhbar tempatan.

Syarikat itu didapati mengagihkan sabun buku yang ditanam cip khas dan penduduk dijanjikan Rs400 (RM27) jika mereka mengembalikan sabun itu selepas beberapa hari.

Menurut polis, penyelidik akan memuat turun data daripada cip itu menggunakan alat pembaca kad untuk mengkaji pola sanitasi.

Firma dari Britain itu membatalkan kajian berkenaan pada Sabtu selepas tersiarnya laporan akhbar berkenaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain