suria

Rakyat Malaysia Masuki Thailand Dinasihati Ambil Insurans Kesihatan

SONGKHLA: Rakyat Malaysia yang memasuki Thailand dinasihati mengambil insurans kesihatan bagi mengelakkan risiko dikenakan caj yang tinggi apabila menerima rawatan di negara gajah putih itu.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Aini Atan berkata, selama ini ramai rakyat Malaysia mengambil risiko dengan memasuki Thailand tanpa mengambil insurans kesihatan.

Bercakap kepada Bernama selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerjasama Sempadan Perlis, Ahmad Bakri Ali di sini Ahad, beliau berharap rakyat Malaysia tidak bersikap ambil mudah terhadap soal kesihatan mereka apabila berada di Thailand.

Menurutnya, ada kes seorang rakyat Malaysia dikenakan caj rawatan perubatan sehingga lebih RM90,000 selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital di Thailand akibat kemalangan tidak lama dulu.

"Mereka minta bantuan pejabat konsulat untuk menyelesaikan tuntutan kos itu tapi kami tidak dapat membantu bab kewangan seperti itu," katanya.

Mohd Aini berkata, ada yang menganggap memasuki Thailand hanya memadai dengan menyediakan dokumen perjalanan atau insurans kenderaan tetapi mereka jarang memikirkan kemungkinan perlu menjalani rawatan di hospital.

Beliau berkata, caj rawatan di hospital di luar negara adalah tanggungjawab individu dan sebagai persediaan mereka perlu mendapatkan insurans kesihatan sebelum melawat negara lain.

Katanya jumlah rakyat asing yang berkahwin dengan rakyat Malaysia di Thailand juga banyak tetapi bukan semua kes perkahwinan dapat didaftarkan di pejabat Konsul Jeneral.

Menurutnya, pihaknya tidak dapat mendaftar perkahwinan yang meragukan dan sebagai contoh ada lelaki warga asing datang terus dari negara kelahirannya untuk berkahwin dengan wanita Malaysia di Thailand.

Sementara itu, Ahmad Bakri berkata, Perlis dan wilayah-wilayah selatan Thailand terutama Songkhla dan Satun saling menyuburkan hubungan silatulrahim melalui pelbagai kegiatan dua hala.

Katanya, selain perbincangan di peringkat pegawai, hubungan Perlis dengan wilayah selatan Thailand itu turut disuburkan melalui kegiatan sukan sempadan yang diadakan setiap tahun.

Yang terbaru ialah program sukan sempadan membabitkan beberapa acara sukan termasuk bola sepak yang berlangsung di wilayah Satun Jumaat lalu.

Menurutnya, program sukan itu bukan untuk memburu kejuaraan tetapi yang lebih utama ialah menyuburkan keharmonian yang terjalin di kawasan sempadan.

Selain bersukan, satu mesyuarat kerjasama dua hala Perlis-Satun turut berlangsung bagi membincangkan aspek pembangunan yang perlu dilaksanakan di sempadan Malaysia-Thailand pada Jumaat lepas.

Pada mesyuarat yang berlangsung di pejabat Gabenor Wilayah Satun itu, delegasi Perlis diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu manakala wilayah Satun diketuai Pemangku Gabenor Nueachai Jirahapirak.

Mesyuarat itu bersetuju untuk menghidupkan semula cadangan memajukan Bukit Batu Puteh berhampiran Kuala Perlis sebagai pintu sempadan yang baru yang menghubungkan Perlis dan Wilayah Satun.

Cadangan memajukan Bukit Batu Puteh pertama kali dicadangkan kedua-dua pihak pada 1996 tetapi usaha merealisasikan cadangan itu terhenti beberapa tahun kemudian disebabkan beberapa masalah teknikal. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain