suria

Pegawai Kanan Tentera Laut Disabitkan Bersalah Pukul Kelasi Wanita

SYDNEY: Seorang pegawai kanan tentera laut Australia disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tentera atas kesalahan memukul punggung seorang anggota junior wanita atas alasan mahu menguji displin dan ketaatan wanita tersebut.

Leftenan Komander John Alan Jones, 58, didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan berkelakukan tidak sopan tanpa kebenaran.

Mahkamah Tentera diberitahu, dua daripada kejadian tersebut berlaku pada tahun lepas semasa Jones berkhidmat di kapal yang membawa bekalan dan melibatkan seorang kelasi muda wanita berbaring di atas pahanya sambil dia memukul punggung wanita itu yang terdedah.

Berdasarkan kepada rakaman yang dibuat oleh wanita itu secara rahsia yang turut dimainkan di mahkamah, Jones berkata pukulan itu adalah ‘satu ujian untuk menguji tahap disiplin dan ketaatan’ kelasi terbabit.

Jones mengakui sebahagian daripada perbuatan itu, namun menafikan bahawa ia dilakukan tanpa kerelaan mahupun perbuatan itu boleh dikategorikan sebagai perbuatan tidak sopan.

Dia dijangkakan akan dihukum pada Rabu dan kini berhadapan dengan hukuman maksimum lima tahun penjara untuk setiap pertuduhan.

Hujahan untuk hukuman tersebut didengar pada Selasa dan jurucakap Kementerian Pertahanan memberitahu pemberita: “Hukuman masih belum dijatuhkan dan tidak begitu sesuai untuk memberi komen sehingga hukuman dijatuhkan.”

“Pasukan tentera laut berusaha dalam memastikan kelasi yang tampil ke depan diberi perhatian dan sokongan yang diperlukan.”

Pasukan ketenteraan Australia terkenal dengan reputasi dalam budaya seksis dan budaya minum minuman keras - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain