suria

Putin Kecam AS, Beri Amaran Kepada Penunjuk Perasaan

MOSCOW: Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Khamis, menuduh Amerika Syarikat (AS) membangkitkan kontroversi berhubung pilihan raya negaranya selain memberi amaran bahawa tindakan akan diambil terhadap sesiapa yang melanggar undang-undang semasa mengadakan protes mengenai keputusan pilihan raya.

Selepas tiga hari protes diadakan bagi menentang keputusan pilihan raya yang didakwa pembangkang sebagai wujud unsur penipuan, Putin berkata pihak berkuasa seharusnya mengadakan dialog dengan pembangkang.

Bagaimanapun, beliau juga menuduh sebahagian pemimpin tersebut bersikap mementingkan diri sendiri.

“Jika seseorang melanggar undang-undang maka pasukan keselamatan perlu melaksanakan tindakan undang-undang dengan sepenuhnya,”kata Putin dalam komen pertamanya berhubung isu protes tersebut.

Pihak pembangkang Rusia telah berikrar untuk mengadakan protes secara besar-besaran di sini pada hujung minggu bagi mencabar keputusan pilihan raya, meskipun hampir 1,000 orang telah ditahan dalam perhimpunan yang diadakan sebelum ini.

Putin juga berkata ‘jika seseorang bertindak mengikut batasan undang-undang, mereka seharusnya diberikan peluang untuk menyuarakan pendapat dan kita tidak akan menyekat hak asasi itu’.

Tetapi, beliau mengecam Setiausaha AS, Hillary Clinton yang didakwanya telah mengkritik pilihan raya yang diadakan pada Ahad lalu sebelum membaca laporan yang disediakan oleh pemerhati antarabangsa.

Putin menambah, kritikan tersebut telah memberi isyarat kepada sebahagian penduduk negara tersebut.

“Mereka mendengar isyarat tersebut dan dengan sokongan AS memulakan ‘kerja’ tersebut.

“Kita semua telah dewasa dan memahami bahawa ada di antara penganjur ini yang mengikuti senario ini mempunyai matlamat politik yang sempit,” komen Putin yang disiarkan ke seluruh negara menerusi televisyen.

Putin juga menuduh AS memberi sumbangan kepada badan bukan kerajaan (NGO) Rusia dengan matlamat mahu mempertikaikan kesahihan pilihan raya.

Walaupun parti pimpinan Putin itu memperolehi majoriti tipis tetapi beberapa protes telah berlaku di ibu kota Rusia ini dan juga di bandar kedua terbesar iaitu Saint Petersburg yang menyaksikan pihak polis menahan lebih 300 penunjuk perasaan termasuklah bloger anti-rasuah terkenal, Alexei Navalny di Moscow dan lebih 100 orang lagi di St Petersburg. - AFP

Artikel Lain